Ada peserta Mek Awey raih jualan RM1,000 sehari

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Kebanyakan anak muda yang menyertai perniagaan melalui jenama Mek Awey yang diwujudkan kerajaan negeri berjaya meraih jualan sehingga RM1,000 sehari.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, selain membantu mencipta kerjaya untuk golongan belia, ia juga menggambarkan kuasa beli rakyat di negeri ini masih tinggi terutama di musim perayaan.

Menurutnya, kejayaan itu selaras dengan hasrat kerajaan negeri membantu anak-anak muda mencari rezeki melalui perniagaan.

“Alhamdulillah, kita lihat sejak Kiosk Mek Awey beroperasi tahun lepas ada peserta mampu meraih jualan sehingga RM1,000 sehari.

- Advertisement -

“Sehubungan itu, Kiosk Mek Awey akan ditambahkan daripada semasa ke semasa di seluruh jajahan bagi membolehkan lebih ramai belia diberi peluang terlibat dalam perniagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas perasmian Pusat Belia Kelantan dan Penyerahan Kiosk Mek Awey di perkarangan Medan Usahawan di sini petang semalam.

Hadir sama Exco Belia, Sukan dan NGO Wan Roslan Wan Hamat, timbalannya Zuraidin Abdullah dan Pengarah Urusetia Belia dan Sukan (U-Bes) Nasruddin Mahmud Muhaidin.

Sehingga kini sebanyak 42 Kiosk Mek Awey beroperasi di seluruh Kelantan. Sebelum ini U-Bes melancarkan tiga stesen Mek Awey yang berupa stesen makanan vendor berjenama.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu Ahmad berkata, kerajaan negeri turut memperkenalkan satu lagi produk keusahawan di bawah jenama Mek Awey.

Kata beliau sekarang produk Mek Awey menjenamakan Kios Mek Awey dalam bentuk stall dan kiosk setiap unit diberi kepada 42 anak muda untuk mereka menjalankan aktiviti perniagaan.

“Apa yang penting mereka perlu mendapat kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mendapatkan lesen perniagaan,” ujarnya.

Wan Roslan pula berkata, cadangan untuk mewujudkan Pusat Belia Kelantan dirancang sejak 2008 melalui manifesto tawaran program kerajaan negeri.

Menurutnya U-Bes mengambil inisiatif membangunkan premis di tingkat atas Medan Usahawan bagi merealisasikan hasrat itu.

“Semoga usaha ini akan merancakkan aktiviti perniagaan di aras bangunan tersebut, sekali gus memberi impak kepada pengusaha dan usahawan,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/5/2022

- Advertisement -