Tersenyum imbau kenangan indah bersama guru

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, beliau tersenyum sambil terimbau satu persatu kenangan indah bersama insan yang bergelar guru.

“Apabila tibanya 16 Mei setiap tahun kita meraikan Hari Guru di negara kita, hari yang cukup bermakna bagi semua guru dan pendidik,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, hari ini.

- Advertisement -

Beliau turut memetik hadis daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang manusia meninggal dunia, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat baginya dan anak soleh yang selalu mendoakannya”.

Katanya, setiap ilmu yang bermanfaat sama ada ilmu agama mahupun dunia yang digunakan untuk kemaslahatan hidup merupakan amalan berterusan yang mengalir walaupun sudah meninggal dunia.

“Sungguh mulia tugas sebagai seorang pendidik,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan Selamat Hari Guru kepada seluruh warga pendidik dan guru.

“Semoga terus bersemangat untuk menjalankan tugas dan amanah besar sebagai seorang yang bergelar guru. Terima kasih guru,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 16/5/2022

- Advertisement -