Awasi ancaman liberalisme dan Islam tanpa syariat

Dato' Mohd Amar Nik Abdullah menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada mahasiswa universiti
- Advertisement -

BANDAR BARU BANGI: PAS di Kelantan dan negara mempunyai dua cabaran besar, iaitu mempertahankan Dasar Membangun Bersama Islam dan kedua, cabaran yang lebih besar ialah cabaran ummah.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Nik Abdullah, berkata Islam dan umat Islam pada hari ini berada di persimpangan dan berhadapan cabaran besar bukan sahaja di negara ini, tetapi di seluruh dunia, iaitu pemikiran liberal.

- Advertisement -

Jika dahulu, katanya umat Islam berdepan sekularisme, tetapi sekarang liberalisme, iaitu antara bentuk sekularisme memberikan cabaran lebih besar kerana memisahkan aspek agama dan membolehkan sesuatu tindakan atau amalan bebas dari ketentuan agama.

“Malah wujud fahaman Islam liberal walaupun istilah itu tidak tepat kerana Islam hanya ada satu, tiada yang liberal, tiada yang sosialis. Islam hanya Islam.

“Namun istilah ini kadang-kadang dipopularkan oleh sesetengah golongan dalam masyarakat. Dalam hal ini, cabaran berkaitan ialah fahaman Islam tanpa syariat yang juga dipopularkan oleh sebahagian ahli politik yang beragama Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Anak Perantau Pengkalan Chepa anjuran Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Pengkalan Chepa yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary. Antara yang hadir termasuk mahasiswa dari beberapa universiti sekitar Lembah Klang.

Antara yang hadir di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Anak Perantau Pengkalan Chepa

Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata, cabaran besar terhadap ummah memerlukan keprihatinan dan perhatian umat Islam, terutama di kalangan mereka yang berilmu.

“Sebab itu, saya sebut mahasiswa mempunyai tanggungjawab yang besar dan berat pada masa akan datang kerana mereka yang akan mencorakkan masa depan negara.

“Cendiakawan pernah berkata, kalau kamu melihat masa depan sesebuah negara, kamu lihatlah generasi muda yang ada di negara itu kerana mereka yang akan menjadi pemimpin dan menentukan masa depan ummah dan negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta umat Islam secara keseluruhan dan anak-anak yang menjadi mahasiswa supaya meningkatkan kefahaman dan mengukuhkan pegangan Islam bagi membantu mengekang pemikiran yang bertentangan dengan Islam. – HARAKAHDAILY 16/5/22

- Advertisement -