Perpaduan Nasional bina kesatuan, perpaduan umat

- Advertisement -

Oleh SRIHAYANIS ABASRI

BANGI: Persidangan Meja Bulat Ummah yang berkonsepkan ‘Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera’ menjadi agenda utama kerajaan Malaysia dengan harapan berjaya membina ke arah kesatuan dan perpaduan umat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, berkata persidangan ini juga bertepatan dengan umat Islam dan rakyat yang memerlukan komitmen para pemikir, tokoh masyarakat dan barisan badan bukan kerajaan (NGO) serta tokoh-tokoh individu (NGI).

- Advertisement -

Jelas beliau, komitmen ini adalah untuk merealisasikan perpaduan di kalangan rakyat negara ini.

“Pihak kerajaan melalui Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama sendiri akan menyokong sebarang usaha dan inisiatif bagi mempromosikan agenda perpaduan ini kepada rakyat dan negara.

“Perpaduan adalah kunci kepada keharmonian antara kaum yang menjadi ramuan pembentukan negara Malaysia,” katanya menerusi aplikasi Zoom semasa berucap dalam Sidang Meja Bulat UMMAH: Perpaduan Nasional Keluarga Malaysia anjuran Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) di Hotel Tenera, di sini, hari ini.

Beliau berharap agenda ini berjaya menggembleng di setiap peringkat sehingga berjaya merakyatkan usaha ini secara tidak langsung demi keharmonian di negara ini tercapai.

“Beberapa saranan yang saya ingin sampaikan dalam persidangan ini iaitu mewujudkan perbincangan yang aktif dalam kalangan para tokoh, ahli akademik dan pimpinan NGO negara untuk membina kesatuan umat.

“Seterusnya, menubuhkan Sekretariat Jawatankuasa Pelaksana bagi menggerakkan badan-badan Islam bersama agensi-agensi kerajaan bagi membincang dan mewujudkan Pelan Tindakan Perpaduan Ummah dan Negara.

Beliau turut menyarankan Perpaduan Ummah diperkukuhkan dan Perpaduan Nasional diperkasakan bagi membina keluarga Malaysia sejahtera selain memperkasakan pendidikan yang mengutamakan perpaduan serta memurnikan komunikasi bagi mengukuhkan perpaduan.

Selain itu, beliau juga berharap perpaduan umat Islam di negara ini sentiasa berpaksikan kepada Islam sebagai agama di sisi Allah.

Turut hadir dalam program tersebut Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa, Timbalan Pesuruhjaya Tiga Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Prof Madya Dr Mohd Fuad Mohd Salleh serta Panel Penasihat Hal Ehwal Islam Menteri Agama, Prof Dr Kamaruzaman Yusoff.

Beliau turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada penganjur persidangan serta kepada seluruh agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang hadir bersama pada majlis berkenaan. – HARAKAHDAILY 15/5/2022

- Advertisement -