Muslim Care Malaysia rai pesakit Hydrochepalus

Presiden Muslim Care Malaysia, Zulkifli Wahijan menyerahkan sumbangan Aidil Fitri kepada Nur Rabiatul Rosli, 13 tahun. Foto Muslim Care Malaysia
- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

GOMBAK: Seramai enam pesakit Hydrochepalus menerima bantuan katil elektrik hasil kutipan orang ramai melalui Muslim Care Malaysia.

Presidennya, Zulkifli Wahijan berkata, sumbangan itu bagi memudahkan penjaga pesakit Hydrochepalus yang terlantar.

- Advertisement -

“Hari ini (14 Mei) kita raikan 35 orang penghidap penyakit hydrochepalus yang kebanyakan tidak boleh berjalan, ada yang memakai kerusi roda.

“Kehidupan mereka banyak dibantu oleh penjaga atau ibu bapa yang banyak berkorban, disebabkan mereka perlu dipantau sepenuh masa,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, semasa menghadiri Majlis Rumah Terbuka Muslim Care Malaysia di sini, petang semalam.

Menurut Zulkifli, majlis berkenaan juga bertujuan untuk meraikan pesakit dan penjaga atau bu bapa mereka selain untuk memberi sumbangan Aidil Fitri.

Hydrochepalus adalah keadaan apabila berlaku pengumpulan cecair otak (Cerebro Spinal Fluid) yang berlebihan.

Sesetengah penghidap mempunyai saiz kepala yang besar tetapi mampu bergerak normal seperti kanak-kanak lain.

Namun ada juga yang mengalami komplikasi dan keadaan yang lebih serius. Mereka hanya mampu terbaring dan segala urusan harian perlu dilakukan oleh ibu bapa atau penjaga.

Selain bantuan berterusan kepada Palestin dan Syria, Muslim Care Malaysia juga mempunyai program bantuan dalam negara.

Antaranya program Home2Live yang menyediakan rumah untuk keluarga layak yang tidak mampu memilik rumah sendiri dengan anggaran kos berjumlah RM60,000 minumun hingga RM100,000 bagi sebuah rumah.

Menurut Zulkifli, program Home2Live telah bergerak sejak dua tahun lalu, dan sehingga kini Muslim Care Malaysia berjaya membina 35 buah kediaman di seluruh negara melalui kutipan dan dana orang ramai.

Selain itu, Muslim Care Malaysia juga giat mencari dana untuk membina telaga tiub bagi memudahkan segelintir rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan yang tidak mempunyai bekalan air.

Kata Zulkifli, setakat ini sebanyak lapan buah telaga tiub dibina di Rantau Panjang, dan dijangka akan membina 20 buah lagi dengan anggaran satu telaga sebanyak RM20,000.- HARAKAHDAILY 15/5/2022

- Advertisement -