PM rakam ucapan takziah kemangkatan Presiden UAE

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob merasa sedih mendapat perkhabaran mengenai kemangkatan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa bin Zayed Al Nahyan.

Sehubungan itu, beliau dan kerajaan serta seluruh Keluarga Malaysia mengucapkan takziah yang sangat mendalam kepada Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum, Naib Presiden, Perdana Menteri UAE dan Pemerintah Dubai, ahli Kerabat Diraja dan rakyat negara itu di atas kemangkatan Almarhum.

Menurutnya, Almarhum merupakan seorang pemimpin berwawasan yang telah berjasa besar kepada kemajuan dan kemakmuran UAE.

- Advertisement -

Beliau berkata, pencapaian, kebijaksanaan dan kemurahan hati Almahrum telah memberi manfaat kepada rakyat UAE dan seluruh Umat Islam.

Dalam catatan menerusi Facebook, beliau berkata Malaysia sangat menghargai sumbangan murni Almarhum yang telah mengukuhkan hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara.

Tambahnya, doa dan ingatan beliau sentiasa bersama Almarhum, ahli Kerabat Diraja dan rakyat UAE dalam menghadapi waktu-waktu yang sukar ini.

“Semoga Allah SWT merahmati Yang Mulia Almarhum dan menempatkan rohnya bersama-sama golongan yang soleh,” katanya.

Media melaporkan, Sheikh Khalifa yang memerintah sejak 2004 meninggal dunia pada usia 73 tahun semalam selepas berehat lama akibat sakit. – HARAKAHDAILY 14/5/2022

- Advertisement -