Mengenang 74 tahun Nakbah Palestin dan kita menjadi Muslim yang tolol

Briged Al Qassam.

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

15 Mei setiap tahun semenjak 1948 adalah tarikh yang menikam hati dan perasaan umat Islam, nakbah Palestin atau pun bencana Palestin yang hilang daripada peta digantikan dengan negara haram Israel. Pengusiran dan pembantaian kepada umat Palestin tidak berhujung, seolah-olah dunia Islam sudah pekak dan tuli terhadap jeritan mangsa penindasan. Hilang sensitiviti dengan kemuliaan Masjidil Aqsa yang diceroboh zionis atau pun perasaan simpati itu datang seperti biskut chipsmore!. Israel dengan dukungan Amerika Syarikat tidak peduli dengan bantahan dan jerkahan masyarakat antarabangsa, dibantu oleh rejim negara-negara Arab yang pro kepada kuasa adijagat dunia yang juga “polis dunia”, Amerika Syarikat.

15 Mei ini juga menoreh sejarah hitam kepada umat Islam sejagat apabila Ramadan yang mulia baru-baru ini telah dikotori dengan tentera zionis menyerang dan membantai umat Islam yang sedang beribadah di Masjidil Aqsa. Ratusan yang cedera malah angka kematian ini akan terus meningkat jika dunia tidak berbuat sesuatu untuk menghentikan sikap barbarik rejim zionis. Solidariti terhadap Masjidil Aqsa dan warga Palestin juga semakin menurun dalam kalangan Muslim seluruh dunia. Hanya perarakan bantahan di bumi Turki, menyelar sikap Israel. Di kebanyakan negara Muslim, darah yang tumpah di Masjidil Aqsa bukan lagi isu penting untuk dibahaskan, malah mulut juga terkunci untuk melantunkan Qunut Nazilah. Sangat kontradik dengan malam sepuluh akhir Ramadan, memburu malam al Qadr.

Gerakan Zionis yang ditubuhkan pada tahun 1897, terus merancang dengan teliti untuk menakluki tanah Palestin. Tanah yang mereka dakwa milik mereka, saat itu dijaga oleh pemerintah Islam, Khilafah Uthmaniah. Zaman imperialisme Barat, zaman the blue eyes mentality, zaman umat Islam hilang kekuatan politik Islam yang menyaksikan umat Islam yang terpuruk ke belakang turut mempercepatkan kewujudan negara haram Israel di atas tanah Palestin.

Advertisement

Teodor Hezl yang memimpin konspirasi zionis ini meminta Sultan Abdul Hamid (II) untuk melepaskan Palestin dengan tukaran wang, namun Khilafah Uthmaniah yang semenjak pemerintahan Khalifah Uthman Urthugul tetap menjaga setiap inci tanah Palestin. Gerakan Zionis telah berjaya memperalatkan Britain untuk melakukan peluasan kuasa di Palestin sehingga berlaku perang pada tahun 1917 yang dimenangi oleh tentera British. British menjemput migran Yahudi daripada pelbagai pelosok dunia terutama daripada Eropah selepas daripada Deklarasi Balfour.

Negara haram Israel menjadi duri dalam daging kepada ummat Islam, dengan pengusiran dan pembantaian terhadap ummat Islam Palestin. Nakbah Palestin yang berlaku semenjak Mei 1948 terus berterusan memotret luka kepada umat Islam. Perang Palestin yang melibatkan mujahidin Ikhwanul Muslimin pada tahun 1940-an dan dengan alasan inilah Ikhwan Muslimin telah diseret ke jeriji penjara pada tahun 1948 oleh penguasa Mesir. Sebelum itu dalam dekad 1930-an, Sheikh Izzudin al Qassam telah berjuang dan akhirnya telah mati syahid dibunuh penjajah British. Juga seorang ilmuan daripada Alam Melayu yang gencar memperjuangkan isu Palestin, Dr Burhanuddin al Helmi turut ditangkap dan dipenjarakan oleh British. Negara dan pemimpin Arab dikunci mulut dan tangan oleh British melalui Perjanjian Posmourth, terkucil keberanian pemimpin melihat tanah Palestin dijarah oleh musuh Islam.

Malangnya negara-negara Arab dalam dekad 1950-an dan 60-an yang berselimut dengan fahaman Baath (Sosialis Arabism), mereka tidak mempunyai kekuatan untuk menjaga tanah Palestin daripada perampok zionis. Bahkan dalam Perang Enam Hari atau Perang Arab Israel 1967 menyaksikan tiga buah negara Arab bernuansa Baath telah dipijak maruah dan dihina dengan kekalahan. Mesir telah kehilangan wilayah Sinai, Jordan dirampas Tebing Barat dan Syria kehilangan Bukit Golan yang strategik. Ketiga negara Arab ini juga telah kehilangan 25,000 anggota tentera yang dibunuh oleh pihak zionis dalam perang yang singkat tempohnya ini. Arab hilang kekuatan dan kemuliaan tanpa Islam.

Namun hikmah kekalahan ini telah memunculkan semangat kebangkitan semula Islam dalam kalangan generasi anak-anak muda berpendidikan di Timur Tengah.

Mesir akhirnya berjaya mengambil kembali Semenanjung Sinai dalam Perang Ramadan 1973, dengan bantuan ulama dan sentimen kebangkitan semula Islam. Bulan jihad dan kemenangan yang sangat memotivasikan Muslim untuk berjuang. Namun rejim Mesir pasca Perang Ramadan 1973 kembali mengganas dan menangkap aktivis Islam dan menyumbat kembali mereka ke dalam jeriji penjara.

Cahaya kemenangan hanya muncul bersinar dengan perjuangan berteraskan akidah. Di Gaza, munculnya HAMAS pada tahun 1987 yang meletakkan matlamat untuk membebaskan setiap tanah Palestin yang dirampas oleh zionis. Sheikh Ahmad Yasin telah memimpin gerakan jihad ini sehingga dilihat HAMAS menjadi pembela utama Palestin dan gerakan ini telah membayar harga yang mahal dalam usaha menjulang perjuangan pembebasan Palestin. Sayap tentera HAMAS, Al Qassam berjaya dalam banyak siri pertempuran dan sehingga kini mengawasi percubaan zionis untuk melumpuhkan Gaza. Mereka tak sewenangnya untuk menyerang Gaza kerana bimbangkan tindak balas daripada al Qassam.

Usaha menyelamatkan al Quds memerlukan usaha yang berterusan, sistematik serta penggarapan seluruh iltizam politik kerajaan umat Islam di seluruh belahan dunia. Malangnya hari ini, keseriusan untuk menyelamatkan al Quds sangat sederhana malah sangat mengecewakan. Contohnya apabila Erdogan melakukan inisiatif menghimpunkan pimpinan negara OIC di Istanbul pada tahun 2018, sebanyak 23 buah negara tidak menghantar perwakilan. Lihatlah bagaimana sikap negara Teluk terhadap Qatar pada bulan Jun 2017, negara itu dikucilkan oleh negara Teluk yang lain kerana melindungi pimpinan HAMAS. Lihat juga sikap penguasa Saudi yang sangat menjengkelkan dan sangat mengecewakan umat Islam dalam isu Palestin ini.

Bagi penulis, usaha penyelamatan al Quds mestilah paralel dengan usaha membantu Gaza yang sedang terkepung. Dunia Islam mestilah bangkit mendesak agar kerajaan kudeta Mesir membuka pintu sempadan Rafah bagi memudahkan dunia antarabangsa membantu membangunkan kembali Gaza yang diluluh lantak dengan serangan Zionis. Perjuangan membebaskan Palestin adalah milik seluruh umat Islam dan merentasi sempadan politik dan kotak kecil negara bangsa. Bangkitlah umat Islam, 74 tahun Nakbah Palestin dan sudah dua tahun mereka merayakan dengan gemilang kesakitan umat Palestin dengan pemindahan ibu negara Israel ke tanah suci umat Islam. Kita adalah manusia yang paling tolol jika rajin beribadah namun melupakan nasib tanah Palestin, kiblat pertama umat Islam ini serta Masjidil Aqsa. – HARAKAHDAILY 14/5/2022

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.