Impak komen negatif di media sosial: Peristiwa 13 Mei mampu berulang

Mohammad Shatar mengulas tentang topik berjudul, Perpaduan Era Metaverse yang disiarkan dalam program Selamat Pagi Malaysia di RTM1.
- Advertisement -

Oleh YUSMAN AWANG

KUALA LUMPUR: Peristiwa hitam 13 Mei 1969 yang berlaku 53 tahun lalu boleh berulang sekiranya perpaduan tidak dijaga dengan baik di negara ini terutama di platform media sosial.

Menyelak lipatan sejarah, tarikh tersebut merupakan satu titik hitam negara ini apabila tercetus insiden rusuhan kaum yang memuncak ekoran masalah perpaduan yang timbul dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.

Tragedi itu melibatkan kehilangan nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969 apabila calon-calon pilihan raya serta ahli-ahli politik dari kalangan parti pembangkang yang berkempen telah membangkitkan soal-soal Bangsa Malaysia berkaitan dengan Bahasa Kebangsaan (Bahasa Melayu), kedudukan istimewa orang Melayu sebagai bumiputera dan hak kerakyatan orang bukan Melayu.

- Advertisement -

Ia telah memberi peluang kepada ahli-ahli politik pembangkang ketika itu yang mengambil kesempatan untuk meraih undi dalam pilihanraya berkenaan.

Keadaannya hampir sama pada hari ini, khususnya dalam dunia digital yang memudahkan orang ramai mengeluarkan pelbagai komen mengikut kehendak sendiri hanya di hujung jari melalui teknologi digital.

Pakar Sosial, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, dalam dunia digital ketika ini, pelbagai komen negatif ditulis sewenang-wenangnya sekiranya terdapat percanggahan pendapat antara satu pihak dengan yang lain mengenai pelbagai isu.

Menurutnya, lebih baik sebelum sesuatu hantaran dibuat di media sosial, seseorang itu memikirkan sama ada tindakannya itu bertujuan untuk kebaikan atau sebaliknya.

“Sekiranya hanya untuk menghentam, mengenakan, menjatuhkan, merosakkan dan merendahkan orang lain, maka berhentilah.

“Tanya diri, apakah agenda atau hasrat akhir sesuatu maklumat itu dimuat naik? Adakah untuk membangunkan negara, beri peringatan atau nasihat kepada masyarakat? Jika bertujuan baik, maka kita teruskan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai topik berjudul, Perpaduan Era Metaverse yang ditayangkan dalam program Selamat Pagi Malaysia di RTM1, semalam.

Mengulas lanjut, Mohammad Shatar yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) berkata, mulai hari ini, orang ramai perlu bertekad untuk menyebarkan hanya perkara positif dalam media sosial terutama mengenai Malaysia.

“Kata-kata yang baik merupakan satu doa dan insya-Allah, ia boleh dimakbulkan sekiranya kira-kira 32 juta rakyat di negara ini melakukannya, maka akan bertambah baiklah keadaan Malaysia.

“Tiada guna bercakap hal negatif sekiranya kita tidak mampu mengubahnya, ia akan kekal sebagai sembang kosong dalam kumpulan media sosial,” ujarnya.

Menurutnya lagi, adalah lebih baik orang ramai menampilan hal positif, seterusnya menikmati kepelbagaian yang unik di negara ini dengan saling menghormati antara satu sama lain, dan membolehkan masyarakat hidup dalam keadaan lebih harmoni.

“Berhati-hati dalam berkongsi sesuatu maklumat (dalam media sosial) terutamanya yang mampu menggugat keamanan negara kerana impaknya sangat besar (kepada keutuhan negara pada masa hadapan),” katanya. – HARAKAHDAILY 14/5/2022

- Advertisement -