Roti oven 100 tahun

SLIM RIVER: “Seingat saya kebuk roti (tempat pembakar roti) ni dah ada sebelum bapa saya ambil alih kilang roti ni”,  menurut Mokhtar Ahmad Mohammad Taqi, 60, ketika menjelaskan mengenai Kilang Roti Babu miliknya.

Advertisement

Kebuk roti yang berusia lebih 100 tahun ini masih mengekalkan pembakaran secara tradisional menggunakan bahan kayu api.

Inilah rahsia, keenakan aroma Roti Babu yang diminati ramai sehingga kekal ke hari ini walaupun wujud persaingan dengan jenama roti lain di pasaran.

“Kebuk batu merah berukuran kira-kira 20 kaki panjang dan 15 kaki lebar dengan ketinggian enam kaki  mampu memuatkan enam sehingga lapan loyang untuk sekali masak.

“Untuk satu loyang, akan dibakar selama 10 hingga 15 minit menggunakan kayu api dengan serombong asapnya dibina pada ketinggian lebih 25 kaki,” kata Mokhtar Ahmad kepada Bernama.

Menceritakan bagaimana bermulanya perniagaan roti berkenaan, Mokhtar berkata bapanya, Mohammad Taqi bersama abangnya, Abdul Kadir Habib berasal dari India membeli kilang tersebut pada tahun 1949 dengan mereka dikenali sebagai ‘Roti Babu Pembuat Roti’.

Roti Babu yang merupakan roti benggali atau roti kampung menggunakan resepi asal dari bapanya yang tidak menggunakan sebarang bahan pengawet.

Keunikan roti ini membolehkan Mokhtar dikenali penduduk kampung dan hasil penjualannya mampu membesarkan tujuh orang anak termasuk seorang yang telah meninggal dunia.

 “Jualan bermula sekitar jam 11 pagi sebaik ia dimasak dan pembungkusan dilakukan anak-anak yang turut sama membantu.

“Antara jenis roti yang dihasilkan, roti berinti, roti bijan yang dijual pada harga antara RM1 sehingga RM3.50,” katanya.

Bagi mengekalkan kesegaran roti, Mokhtar berkata beliau tidak menyimpan stok lebihan sebaliknya menghasilkan roti baharu setiap hari. – BERNAMA