Perpaduan Nasional topik utama Sidang Meja Bulat UMMAH, pada Ahad

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Perbincangan mengukuhkan perpaduan Nasional dalam konteks Keluarga Malaysia akan dibincangkan dalam Sidang Meja Bulat Ummah yang dijadualkan berlansung pada Ahad.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata sidang meja bulat itu dijangka mencadangkan pembentukan sekretariat perpaduan Nasional Keluarga Malaysia.

- Advertisement -

Katanya sekretariat itu bakal terdiri daripada ahli akademik, pimpinan badan bukan kerajaan (NGO) serta tokoh-tokoh individu (NGI) dari pelbagai latar belakang bangsa dan agama.

“Sidang ini akan mencari solusi dan pelan bertindak mempromosikan perpaduan nasional dalam membentuk masyarakat Malaysia yang sejahtera.

“Program ini juga selari dengan ucapan Menteri Agama di Dubai, UAE baru-baru ini, iaitu untuk mengukuhkan perpaduan ummah dan nasional dalam keluarga Malaysia,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut Zai, sidang meja bulat itu juga akan menampilkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad serta pensyarah Akademi Tamadun Islam Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Badlisham Mohd Nasir.

Katanya, antara tokoh yang dijangka hadir adalah Profesor Datuk Seri Awang Sariyan serta
Prof Emeritus Teo Kok Siong dan pimpinan NGO Islam dan juga bukan Islam.

Tambahnya, peserta terdiri daripada ahli akademik, tokoh masyarakat dan pimimpin NGO termasuk mahasiswa dan dijangka lebih 100 ahli hadir dalam sidang meja bulat itu yang berlangsung di sebuah hotel, di Bangi, bermula jam 9 pagi sehingga 5.30 petang.

“Program berbentuk pembentangan kertas kerja, ada pengulas dan sidang meja bulat bersama Menteri Agama,” katanya.

Pengerusi Ummah, Mohd Zai Mustafa

Pada Isnin, Idris dalam ucapan di Persidangan Antarabangsa ‘Kesatuan Islam: Konsep, Peluang dan Cabaran’ menjelaskan kepada dunia mengenai ‘Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera’ yang menjadi lambang komitmen kerajaan Malaysia kepada kesatuan dan perpaduan umat.

Beliau yakin, perpaduan adalah kunci kepada keharmonian antara kaum yang menjadi ramuan pembentukan negara Malaysia.

Justeru, beliau menyarankan perbincangan aktif dalam kalangan negara Islam dalam membina wehdatul fikr, wehdatul amal.

Selain itu, beliau turut mencadangkan badan-badan Islam bergerak bersama agensi-agensi kerajaan bagi membincang dan mewujudkan Pelan Tindakan Perpaduan Ummah Negara dan Dunia. – HARAKAHDAILY 13/5/2022

- Advertisement -