Peningkatan penularan jangkitan HFMD di Perak

PADA tahun 2022, sehingga minggu epid (ME) 17/2022 (berakhir pada 30 April 2022), sebanyak 1,636 kes HFMD telah dilaporkan di Negeri Perak iaitu peningkatan sebanyak 10.6 kali ganda berbanding pada ME yang sama tahun 2021 yang hanya mencatatkan 140 kes.

Advertisement

Kes HFMD tinggi dilaporkan dalam kalangan kanak-kanak berumur 6 tahun dan ke bawah iaitu sebanyak 1,557 kes (95.1 peratus), diikuti oleh kumpulan umur 7 hingga12 tahun iaitu 70 kes (4.3 peratus), dan selebihnya berlaku pada umur lebih 12 tahun.

Wabak HFMD akan dilaporkan apabila terdapat dua (2) atau lebih kes dikesan dalam premis yang sama dalam tempoh 10 hari iaitu dua (2) tempoh inkubasi jangkitan ini. Sehingga ME 17/2022, sebanyak 100 wabak dilaporkan di Perak, dengan tiga (3) daerah tertinggi iaitu Kinta 28 wabak (28 peratus), diikuti Larut, Matang dan Selama (LMS) 18 wabak (18 peratus) dan Hulu Perak 8 wabak (8 peratus).

Majoriti lokasi penularan wabak berlaku di tadika / taska / pra-sekolah iaitu 69 wabak (69 peratus), diikuti oleh rumah persendirian 28 wabak (28 peratus), pusat jagaan kanak-kanak 2 wabak (2 peratus) dan sekolah rendah 1 wabak (1 peratus).

Penyakit HFMD disebabkan oleh jangkitan Enterovirus dengan majoriti kes disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV71). Virus ini merebak secara kontak dengan air liur, cecair lepuh (blister) dan najis pesakit HFMD. Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam, diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah.

Hampir keseluruhan pesakit yang menghidap penyakit HFMD pulih tanpa rawatan dalam masa tujuh (7) ke 10 hari. Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak ingin menasihati orang ramai, terutamanya yang mempunyai anak kecil agar mengambil langkah berjaga-jaga berikut untuk mengurangkan risiko mereka dijangkiti:

1. Basuh tangan dengan sabun dan air bersih selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, selepas menukar lampin dan mencuci najis kanak-kanak;

2. Tutup mulut dan hidung semasa batuk dan bersin;

3. Jangan berkongsi barangan peribadi seperti berus gigi, sapu tangan, tuala, selimut, cawan, garpu, dan sudu;

4. Sentiasa mengekalkan kebersihan di rumah, pusat penjagaan kanak-kanak, tadika dan sekolah serta persekitarannya; dan

5. Kerap mencuci semua alat mainan dan permukaan meja, kerusi, dan lantai sekurang-kurangnya dua (2) kali sehari. Ibu bapa dan penjaga kepada kanak-kanak yang menunjukkan tanda-tanda atau gejala HFMD dinasihatkan agar tidak menghantar anak tersebut ke pusat jagaan kanak-kanak, taska, tadika atau sekolah bagi mengelakkan daripada menjangkiti kawan-kawannya.

Pada masa yang sama, ibu bapa dinasihatkan agar tidak membawa anak-anak yang bergejala HFMD ini ke tempat awam yang ramai orang seperti kolam renang, pasar, pusat membeli-belah, stesen bas, dan lain- lain. Kanak-kanak yang sakit harus dibawa ke klinik untuk rawatan.

Sehubungan itu, JKN Perak ingin memberi penekanan semula berkaitan kepentingan pelaksanaan lima (5) amalan di bawah bagi mengawal dan mencegah jangkitan HFMD. JKN Perak dengan kerjasama semua jabatan dan agensi berkaitan akan mempertingkatkan lagi langkah-langkah pencegahan dan kawalan dengan memberi penekanan mengenai pentingnya amalan berikut:

i. Penjagaan kebersihan diri;

ii. Amalan cuci tangan yang betul;

iii. Penjagaan kebersihan persekitaran;

iv. Pemeriksaan/saringan di pintu masuk (gatekeeping screening) taska / tadika / tabika / pra-sekolah dan sekolah; dan

v. Disinfeksi atau nyahkuman permukaan-permukaan yang kerap disentuh dan tercemar.

YB USTAZ MOHD AKMAL KAMARUDIN 
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Negeri Perak – HARAKAHDAILY 13/5/2022