Gali khazanah ilmu pada usia muda

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad menerima jemputan untuk hadir pada majlis sambutan Aidilfitri bersama warga Malaysia di Riyadh, Arab Saudi.

Menurutnya, beliau gembira dapat beramah mesra dengan para asatizah dan profesional yang berkhidmat di situ, di samping anak muda yang sedang menuntut ilmu.

- Advertisement -

“Di kesempatan yang ada, saya titipkan nasihat buat anak-anak mahasiswa supaya bersungguh-sungguh menggali khazanah ilmu pada usia muda sebelum kesibukan masa menghambat kita.

“Tuntutlah ilmu sehingga menjadi ulama dan pakar dalam bidang masing-masing suatu hari nanti,” ujarnya dalam hantaran di laman sosial beliau, hari ini.

Beliau juga mengambil peluang menyantuni dan berdialog bersama warga perantau yang berbakti di bumi Riyadh.

Menurutnya, pelbagai idea, isu dan persoalan dapat dikongsikan bersama.

“Alhamdulillah. Semoga pertemuan mahabbah ini beroleh keberkatan di sisi Allah SWT,” katanya.

Beliau berada di Riyadh kerana menyertai forum mengenai nilai-nilai sejagat di antara penganut agama-agama yang mengumpulkan para tokoh dan pemimpin agama seluruh dunia.

Selain beliau, turut mewakili Kerajaan Malaysia ialah Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah. – HARAKAHDAILY 13/5/2022

- Advertisement -