Gabungan PAS-Umno beri impak berganda dalam perjuangkan Islam

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Gabungan antara PAS dan Umno akan memberikan impak berganda jika hasrat untuk untuk menyelaraskan perjuangan Islam dilaksanakan, kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata demikian membalas cadangan Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan supaya PAS dibubarkan kerana berpandangan Umno turut membawa wadah perjuangan Islam selepas meminda perlembagaan parti pada 2019.

- Advertisement -

“Bukankah elok PAS yang sudah lama bawa wadah perjuangan Islam dan kini Umno pun sama mahu perjuangkan Islam jika selaraskan? Itu lebih beri impak dan kesan berganda,” katanya semasa dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Bagaimanapun kata Amzad, pendekatan Umno mahukan PAS dibubar untuk meperjuangkan islam agak janggal.

“Jika UMNO tiba tiba kata hendak memperjuangkan Islam pula, belum apa-apa sudah mahu minta PAS bubar, macam tidak berapa kena dan pelik pendekatan baru Umno yang kata mahu perjuangkan Islam? Islam minta kita satukan ummah, jangan sokong perkara yang salah,” jelasnya.

Pada Rabu, Ahmad Maslan dalam sebuah program yang disiarkan melalui Facebook Live mencadangkan PAS perlu dibubarkan kerana Umno turut membawa wadah perjuangan Islam.

Katanya, Umno sudah menjadi parti politik yang turut membawa wadah perjuangan Islam dan sudah meminda perlembagaan parti pada 2019 dengan meletakkan agenda mempertahan dan mendokong cita-cita agama Islam sebagai asas dan tujuan utama, berbanding hanya mendokong perjuangan kebangsaan Melayu.

Tambahnya, Fasal 3.3 Perlembagaan Umno sebelum ini, iaitu menegak dan mempertahan Islam sebagai agama Persekutuan serta menghormati prinsip kebebasan beragama seperti termaktub dalam Perlembagaan, kini sudah diletakkan menjadi Fasal 3.1.

Tambah Ahmad, jika sebelum ini Umno merupakan sebuah parti politik yang mendokong perjuangan kebangsaan Melayu, kini Umno adalah sebuah parti politik yang mendokong cita-cita agama Islam, kebangsaan Melayu, Bumiputera, anak negeri Sabah dan Orang Asli serta perpaduan Melayu dan kemakmuran serta kestabilan negara berdasarkan Fasal yang dipinda pada 2019. – HARAKAHDAILY 13/5/2022

- Advertisement -