Cadangan Ahmad Maslan lucu – Senator Nuridah

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) menggesa Umno melaksanakan dasar Islam dalam kalangan pimpinan parti terlebih dahulu sebelum berjuang membawa wadah perjuangan Islam kepada umum.

Terutamanya ke arah membina integriti pemimpin berkualiti dengan mempraktikkan nilai-nilai murni sebagaimana dituntut dalam perjuangan Islam, kata Senator Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

- Advertisement -

“Mohon Umno tunjuk dulu kesungguhan melaksanakan Islam dalam individu khususnya dalam kalangan pimpinan seperti jauhkan daripada rasuah, tutup aurat yang sempurna dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini semasa diminta mengulas berhubung cadangan Setiausaha Agung UMNO, Dato’ Seri Ahmad Maslan yang mencadangkan PAS dibubarkan kerana UMNO turut membawa wadah perjuangan Islam.

Nuridah turut menyifatkan cadangan diutarakan pimpinan tertinggi Umno itu suatu yang melucukan.

Ini kerana menurut beliau, Umno yang ditegaskan Ahmad sudah membawa wadah perjuangan Islam susulan pindaan perlembagaan parti itu pada 2019, sepatutnya dibubarkan berikutan dasar Islam sudah lama menjadi dasar PAS sejak 1951.

“Umno baru hendak bawa (dasar Islam), (sedangkan) PAS daripada asal penubuhan (lagi sudah membawa dasar Islam).

“Siapa yang lebih patut dibubar, yang baru hendak bawalah (patut) bubar sebab dia ikut sahaja,” katanya yang turut menyifatkan cadangan itu sebagai keterlaluan.

Tambah beliau, masalah dalaman yang sering terjadi dalam Umno sedikit sebanyak akan menyukarkan pelaksanaan dasar Islam yang didakwa parti itu mampu mempertahan dan mendokong cita-cita agama Islam sebagai asas dan tujuan utama, berbanding hanya mendokong perjuangan kebangsaan Melayu.

“Umno patut lama sudah bubar sebab pertikaian dalaman mereka sendiri, yang ada Umno baru.

“Yang baru tak tahu sejauh mana boleh diharap. Jangan nanti, harapkan pegar, pegar makan padi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/5/2022

- Advertisement -