13 Mei 1969 pengajaran buat ummah

- Advertisement -

PADA hari ini di tahun lepas dan 2019 saya telah membuat posting memperingati Peristiwa Hitam Tragedi 13 Mei 1969. Semalam saya dihubungi seorang sahabat minta saya mengulas lagi isu ini.

- Advertisement -

Tragedi ini berlaku 53 tahun dahulu bermakna mereka yang berumur 53 tahun ke bawah tidak melalui peristiwa ini dan tidak merasai keperitannya. Kalau tahu pun hanya melalui pihak ketiga, bacaan dan sumber maklumat lain.

Ia sesungguhnya pengajaran besar dalam mengurus kestabilan politik dan hubungan antara kaum dalam negara tercinta.

Saya sengaja memaparkan 3 keping foto lama yang menyumbang kepada tercetusnya peristiwa hitam ini yang telah mengorbankan nyawa 196 orang dan 149 mengalami kecederaan. Tidak termasuk harta benda yang musnah. Ia bukan rahsia pun.

2 logo parti jelas terpampang dalam foto berkenaan iaitu DAP dan Gerakan yang sedang berarak meraikan kemenangan mereka dalam PRU 1969.

Sayang kita tidak ada video atau audio yang boleh melihat dan mendengarkan kita jeritan, slogan dan maki hamun yang keluar dari mulut mereka yang berarak itu.

Foto 3 jelas terpampang sebatang ‘penyapu’ besar turut diarak. Penyapu diarak sebagai simbol mahu menyapu orang-orang Melayu kerana semasa kempen PRU 1969 parti-parti ini membakar sentimen menolak hak keistimewaan Melayu yang didakwanya mendiskriminasi dan tidak adil.

Dalam PRU berkenaan Perikatan (kini BN) hilang 2/3 majoriti buat pertama kali sejak PRU pertama 1959.

Di Selangor yang punya 28 kerusi DUN (yang ketika itu turut meliputi WP Kuala Lumpur) berlaku ‘hung parliament.’ Perikatan menang 14 kerusi manakala DAP 9, Gerakan 4 dan Bebas 1.

Kiranya DAP bergabung dengan Gerakan dan Bebas ketika itu kedudukan DUN menjadi 50-50 dan kerajaan negeri sukar dibentuk.

Mereka yang berarak mendakwa kerajaan Melayu Perikatan telah roboh dan mereka bakal naik menerajui Selangor.

Berbagai khabar angin dan berita palsu tersebar dan berligar. Ini turut menjadi hangat apabila pihak Komunis PKM turut mengeksploitasi mengadu-domba untuk mencetuskan huru-hara.

Menurut Felo utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Teo Kok Seong:

“Peristiwa 13 Mei memberi peringatan tentang kebenaran peribahasa kalah jadi abu, menang jadi arang kerana konflik itu merugikan semua kaum, selain menjejaskan imej negara di persada antarabangsa,”

Tambahnya, kejadian itu turut menuntut keperluan menghormati kontrak sosial (kini Perlembagaan Persekutuan) mengenai agama Islam, bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa kaum Melayu dan kelompok asal Sabah dan Sarawak, serta kedaulatan raja Melayu.

Lihatlah apabila tiada hormat lagi terhadap sejarah, budaya, amalan dan asal-usul kita mudah sahaja ketegangan tercetus.

Bagi saya sebagaimana pernah disebut berulang-kali, yang wajib dibina dan dibentuk adalah penyatuan politik umat Melayu Islam agar kekuatan politik ummah ini memimpin.

Dari penyatuan ummah barulah terbina perpaduan nasional, yang majoriti memimpin

Kita kelompok majoriti dalam negara, tetapi kiranya kita berpecah, berbalah sesama sendiri, menolak perintah penyatuan ummah yang diseru Allah S.W.T dan berjaya dilahirkan Rasulullah S.A.W satu ketika dahulu, maka kita akan mengulangi peristiwa malang seumpama ini.

Ia berlaku pada PRU 1969 dan sekali lagi berlaku pada PRU 2018. Cuma pada PRU 2018 tiada rusuhan kerana mereka berjaya menang menundukkan kekuatan kita yang gagal didamaikan.

Tangisan air mata darah sekalipun tiada bermakna kiranya bumi dipijak milik orang. Kiranya kaduk sudah melangit naik junjung. Beringatlah wahai sekalian pemimpin kami.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 13/5/2022

- Advertisement -