TH bayar pampasan 1,000 jemaah umrah Mac lepas

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Pembayaran pampasan kepada lebih 1,000 jemaah umrah yang tidak dapat menunaikan ibadat umrah Januari telah dibayar pada Mac lalu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, pembayaran itu diuruskan Lembaga Tabung Haji (TH) kepada jemaah terlibat.

Katanya pembayaran pampasan itu diberi ekoran penangguhan sementara ibadah umrah sejak 8 Januari lalu lalu kerana faktor keselamatan dan kebimbangan wabak varian Omicron Covid-19.

- Advertisement -

“Mereka yang menerima pampasan memenuhi syarat yang ditetapkan TH termasuk dokumentasi yang lengkap berkaitan dengan perbelanjaan umrah.

“TH selesaikan bayaran pampasan Mac lepas kepada mereka yang terlibat. Kita berharap saguhati itu dapat meringankan beban mereka yang terpaksa menanggung kerugian akibat penangguhan umrah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan jemaah umrah bakal menerima pembayaran sebanyak RM1,671 seorang daripada kerajaan, ekoran penangguhan sementara ibadah itu 8 Januari lalu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, pembayaran saguhati dikreditkan menggunakan akaun simpanan Tabung Haji (TH) jemaah umrah. – HARAKAHDAILY 12/5/2022

- Advertisement -