Sedu tangis di PWTC dibiar berlalu

- Advertisement -

Oleh M FAQIH

TERNYATA
peristiwa 1977 seperti mahu diulang kembali. Bukan kali pertama Umno menyingkir rakan seperjuangan selepas kembali mendapat kuasa politik. Peristiwa pertama berlaku pada 1977.

Dan sekarang ia mahu diulangi semula. Kira-kira 45 tahun lepas isunya timbul apabila Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) memaksa PAS memecat ahli-ahli Parlimennya kerana menentang keputusan Majlis Tertinggi BN pada 5 Disember 1977.

BN yang didominasi Umno mahu PAS memecat wakil rakyatnya kerana menolak Rang Undang-undang Kuasa-kuasa Darurat (Kelantan) 1977. Kelantan mahu didaruratkan melalui usul dibawa Perdana Menteri Abdul Razak Hussin.

Bagaimanapun pada 6 November 1977 PAS mengarahkan semua menteri, timbalan menteri dan setiausaha parlimen parti itu meletakkan jawatan. Ia bagi membolehkan mereka menentang undang-undang tersebut di Dewan Rakyat.

- Advertisement -

Ketika perdana menteri membentangkan rang undang-undang itu 12 daripada 14 ahli parlimen PAS menentang usul terbabit.

Kerajaan BN mahu mendaruratkan Kelantan selepas berlaku rusuhan ekoran Mohamad Nasir disingkir sebagai menteri besar melalui undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri.

Mohamad disebut ramai sarjana, biarpun sebagai pemimpin PAS, namun banyak tindak tanduknya berkiblat kepada Umno.

Menurut pengkaji sejarah Dr Mohd Fadli Ghani, tentangan PAS terhadap usul kerajaan, antara sebab parti itu disingkirkan daripada BN.

Sedangkan sebelum itu selepas Pilihan Raya Umum 1969 PAS dipujuk menyertai Perikatan. Abdul Razak berhempas pulas memujuk PAS selepas parti terbabit hilang majoriti dua pertiga di parlimen.

Abdul Razak datang ke Kelantan memujuk Mohd Asri Muda bagi menguatkan kembali Perikatan. Dan selepas BN kembali bangkit pada PRU 1974, usaha-usaha memecahkan PAS dari dalam dimulakan.

Umno menjadikan Mohamad Nasir sebagai proksinya. Bermula dari situ berlaku krisis politik di Kelantan. Umno menolak cadangan PAS melantik Wan Ismail Ibrahim sebagai menteri besar selepas BN menang bergaya pada PRU 1974.

Krisis di Kelantan memaksa Mohamad Nasir menghantar surat peletakan jawatan pada 20 November 1976 yang berkuat kuasa mulai 31 Ogos 1977.

Bagaimanapun hasil campur tangan Umno Mohamad menarik surat tersebut. Akhirnya krisis politik di Kelantan meledak.

Ternyata Umno berjaya menjatuhkan kerajaan PAS Kelantan melalui gerakan perintah dan pecah. Selepas pemerintahan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) ditarik balik, Pilihan Raya Dewan Negeri (PRN) diadakan pada 11 Mac 1978.

Pada PRN tersebut PAS hanya menang di Dewan Undangan Negeri Sering dan Manek Urai.

Sedu tangis di PWTC

Dan hari ini selepas 45 tahun berlalu, episod serupa mahu diberulang. Kisahnya juga bermula setelah Umno dan BN hilang kuasa politik pada PRU 2018.

Ketiadaannya tiada kuasa politik di sisi Umno membolehkan PAS mencetus gerakan penyatuan ummah. Tanpa kuasa politik Umno mudah diajak berunding. Ke hilir dan ke hulu pun mereka sanggup ikut.

Kemuncaknya sedu tangis disaksikan di PWTC pada 14 September 2019. Ramai pakcik dan makcik Umno berlinangan air mata. Persengketaan politik selama 45 tahun akhirnya dipertautkan semula.

Ungkapan keramat MN diperkatakan di mana-mana. Kebetulan pula pada Februari 2020 muncul tsunami baru. Ia digerak Bersatu dan bekas pemimpin PKR sehingga tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Langkah yang disebut Sheraton juga dipayungi Umno. Bermula dari Langkah Sheraton pemimpin Umno juga mendapat laba. Ramai pemimpin Umno bergelar menteri semula.

Malangnya Umno masih tidak puas hati. Selepas dibantu PAS, Bersatu, bekas PKR dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) Umno berjaya bangkit semula.

Sebaliknya, Umno menggunakan peluang yang ada merempuh Muhyiddin Yassin.
Namun Muhyiddin tetap menamakan Ismail Sabri sebagai penggantinya. Presiden Bersatu itu ternyata berjiwa besar bagi mengelakkan PH bangkit semula.

Namun malang seribu kali malang. Selepas Umno memiliki kuasa politik, kawan-kawan yang pernah membantu sedikit demi sedikit mulai disingkirkan.

Kejayaan Umno/BN pada PRN Melaka pada November 2021 membuatkan parti itu semakin sombong. Kemuncak keangkuhan pada Mac lepas setelah Umno membolot majoriti dua pertiga pada PRN Johor.

Dan malam tadi, tiba-tiba Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan mencadangkan PAS dibubarkan. Alasannya kerana Umno turut membawa wadah perjuangan Islam.

Menurutnya, Umno meminda perlembagaan parti pada 2019 dengan meletakkan agenda mempertahan dan mendukung cita-cita agama Islam sebagai asas dan tujuan utama.

Malah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hassan juga menyifatkan MN sudah sampai surah terakhir. Ramai tentu nampak kan… Umno semakin tinggi hidung kerana hanya sekadar miliki sedikit kuasa.

“Jadi siapa yang mengkhianati siapa. Malah Umno sendiri pun dilihat masih bercelaru dengan kenyataan yang dikeluarkan memperlihatkan seolah keputusan dibuat presiden secara peribadi,” kata Naib Presiden PAS, Mohd Amar Abdullah. – HARAKAHDAILY 12/5/2022

- Advertisement -