RM1.3 bilion bina takungan air pinggiran di Machang

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan sebanyak RM1.3 bilion bagi pembinaan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di kawasan seluas 404.6 hektar di Machang.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, projek berkenaan akan membabitkan tiga komponen iaitu TAPS, loji rawatan air (LRA) dan pemasangan paip.

Katanya, dengan adanya pembinaan TAPS diharap bukan sahaja dapat menyelesaikan isu bekalan air, malah mengurangkan masalah banjir di Kelantan.

- Advertisement -

“Melalui projek TAPS ia bukan sahaja dapat menyelesaikan masalah bekalan air sebaliknya berfungsi untuk mengurangkan berlaku banjir.

“Sekarang projek berkenaan fasa kajian dan kita jangkakan ia akan bermula tahun ini,” katanya kepada pemberita di Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV di sini hari ini.

Beliau juga berkata, TAPS merupakan antara projek terbesar di Kelantan yang akan menyelesaikan masalah bekalan air dalam jangka masa panjang.

Malah katanya, projek itu akan melibatkan pengambilan sumber air dari sungai Kelantan yang akan ditakung terlebih dahulu sebelum dibekalkan kepada loji-loji rawatan air.

Beliau juga berkata, beberapa LRA di beberapa tempat di Kelantan telah siap dan sudah beroperasi. Selain itu beberapa loji lagi dalam pembinaan.

“Ada beberapa logi yang sedang kita bangunkan termasuk loji di Pasir Puteh, loji yang mula beroperasi termasuk loji di Kampung Telok dan Telok Masira.

“Loji Kampung Telok dijangka dapat mengeluarkan air sehingga 30 juta liter sehari (MLD), tetapi sekarang kita running dalam 12 hingga 13 MLD sehari.

“Manakala Loji Telok Masira kapasiti 3 MLD dan kita baru running lebih kurang 1.5 MLD sekarang dan kita akan upgrade sampai ke kapasiti yang maksimum,” ujarnya.

Semalam Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, projek takungan air besar akan dibina di Machang bagi menyelesaikan masalah bekalan air. – HARAKAHDAILY 12/5/2022

- Advertisement -