Kedai patuhi garis panduan kawalan masa penjualan arak

- Advertisement -

Oleh  ZULHAIDI  MANSOR

KUALA LUMPUR: Kedai-kedai di sekitar ibu kota Kuala Lumpur didapati mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkaitan perintah mengehadkan  penjualan minuman keras, arak atau liquor yang memabukkan di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina yang mula berkuatkuasa sejak 1 Nov 2021.

Hasil tinjauan HarakahDaily mendapati  kedai-kedai berkenaan mengikut peraturan yang telah ditetapkan kerajaan. Pemilik dan pekerja di kedai- kedai turut mengunci ruang penjualan selepas tamat masa operasi penjualan bir, iaitu bermula jam 7 pagi sehingga 9 malam sahaja. 

- Advertisement -

Kedai-kedai tersebut juga menampalkan notis tentang kawalan masa penjualan arak yang bermula jam 7 pagi sehingga 9 malam di premis kedai masing-masing.

Selain itu, pasar raya, kedai runcit, pusat perdagangan dan pusat beli-belah juga mematuhi masa penjualan minuman keras bermula dari jam 7 pagi hingga 9 malam; manakala tempoh masa untuk kedai arak pula secara khususnya bermula jam 10 pagi hingga tengah malam.

Dalam pada itu,  orang ramai yang ditemubual menyokong penuh usaha kerajaan berkaitan dengan isu kawalan masa penjualan arak ini kerana ia dapat mengelakkan banyak implikasi yang negatif.

Pekerja kilang, Alif Haikal, 27, berkata, penjualan arak di kedai serbaneka perlu dipantau dengan ketat kerana isu arak yang boleh membawa kepada masalah mabuk yang  boleh mengundang maut kepada diri pelaku serta orang lain.

Aliff Haikal

Menurutnya, prosedur penjualan arak kepada pelanggan harus diperketatkan seperti meminta pembeli mengemukakan kad pengenalan sewaktu pembayaran di kaunter pembayaran. 

Ini kerana pembeli mungkin dalam lingkungan bawah 18 tahun atau beragama Islam. Seperti yang diketahui umum,  penjualan arak keatas seseorang yang beragama Islam adalah tidak dibenarkan.

“Dalam Islam, perkara yang memabukkan haram di sisi agama. Setiap perkara yang dilarang oleh agama semestinya membawa sebab yang baik. Jika penjualan arak dibenarkan  kepada semua tidak kira bangsa atau agama, pasti dunia akan porak peranda.

“Pengambilan arak boleh menyebabkan seseorang itu mabuk dan menyebabkan tidak dapat  berfikir secara waras,  seterusnya menyebabkan pergaulan bebas yang boleh mengundang maksiat. Maka, terjadinya kes-kes berleluasa seperti  seks bebas tanpa kawalan dan mengundang kepada kes pembuangan bayi kerana malu berhadapan dengan masyarakat. Oleh itu, Islam melarang umatnya untuk mengambil arak,” ujarnya kepada HarakahDaily.

Nurul Nadiah

Sementara itu, menurut penulis bebas, Nurul Nadiah Mior Zulkifli, 30, berkata, usaha Kementerian Wilayah Persekutuan mengehadkan penjualan arak merupakan satu usaha yang bagus dan sudah pasti ramai umat Islam menyokong langkah yang murni ini.

Katanya, jumlah kes pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dan berbahaya dapat dikurangkan disebabkan stok arak sukar didapati. 

“Justeru, kawalan masa penjualan arak ini merupakan satu tindakan yang wajar dan memang sepatutnya pihak berwajib mengambil tindakan ke atas golongan tersebut,” ujarnya.

Dalam pada itu, ejen insurans, Ahmad Dzul Azree Dzulfakar, 30, pula bersetuju dengan usaha kerajaan untuk mengehadkan penjualan di kedai-kedai awam kerana hal ini dapat membendung umat  Islam daripada membeli arak dengan  sewenang-sewenangnya.

Ahmad Dzul

“Menurut perspektif Islam, orang yang menjual arak itu juga tergolong dalam golongan mereka yang berdosa. Sekiranya pekerja di kedai tersebut merupakan seorang Muslim, maka kawalan terhadap penjualan arak ini adalah langkah terbaik kerana ia merupakan satu kebajikan akhirat untuk pekerja mereka juga. 

“Bagi saya, arak tidak perlu pun  dijual di kedai-kedai runcit melainkan kedai itu memang kedai yang berstatus (menjual barangan) tidak halal,” tegasnya.

Terdahulu, Kementerian Wilayah Persekutuan mengehadkan penjualan arak di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina di ibu negara bermula 1 November 2021.

DBKL tidak membatalkan lesen penjualan arak secara keseluruhan, namun hanya mengeluarkan garis panduan untuk mengawal penjualannya kepada orang Islam. -HARAKAHDAILY 12/5/2022

- Advertisement -