Jangan ulangi nestapa 9 Mei 2018

- Advertisement -

KEBELAKANGAN ini isu berkenaan pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke-15 semakin hangat diperkatakan. Ada pihak yang mahu Parlimen ke-14 ini kekal sehingga ke penghujung penggal iaitu pada atau sebelum 16 September 2023 nanti manakala ada yang mahu Parlimen segera dibubarkan untuk beri mandat baru pada kerajaan.

- Advertisement -

Apa pun masing-masing punya hujah dan justifikasi. Hakikatnya Parlimen dan kerajaan ini terus beroperasi sehingga tamat penggal 5 tahunnya, atau ia dengan sendirinya terbubar, melainkan ada titah untuk membubarkannya oleh Yang di-Pertuan Agong sebagaimana diperuntukkan bawah Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keadaan negara baru mahu bangkit dari bencana pandemik COVID-19, ekonomi baru mahu pulih dan kestabilan politik baru mahu dikecapi rakyat dan negara adalah dijangkakan Baginda akan lebih cenderung untuk memberi lebih masa pada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Dato’ Sr Ismail Sabri Yaakob, demi kepentingan rakyat dan negara. Segalanya di tangan Tuanku.

Cuma dalam kita rancak memperkatakan darihal PRU ke-15, baik juga kita singkap kembali apa yang telah berlaku dalam PRU ke-14 dengan harapan kita kembali insaf dan tidak ghairah serta terbawa-bawa dengan tuntutan semasa sehingga kita nanti mengulangi kesilapan yang lampau yang pasti membawa bencana buat masa depan kita bersama.

9 Mei 2018, iklim politik seluruh negara berubah sama-sekali setelah berlaku tsunami politik yang luar biasa, apabila Pakatan Harapan yang didominasi DAP berjaya merampas Putrajaya dan kebanyakkan kerajaan negeri-negeri di Semenanjung dan di Sabah.

Barisan Nasional tumpas di Putrajaya dan hilang kuasa di kebanyakkan negeri kecuali Perlis dan Pahang, PAS walaupun berkurangan kerusi Parlimen dari 21 ke 18 tetapi berjaya menawan Terengganu dan mempertahankan Kelantan. Manakala pengaruh PAS di peringat DUN di Pantai Barat khasnya di Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor terjejas.

PH masuk ke Putrajaya dan kebanyakan kerajaan negeri-negeri dengan dukungan kuat DAP. PH menang di hampir keseluruhan kerusi-kerusi majoriti  bukan-Melayu akibat kejayaan kempen adu-domba dan propaganda DAP serta janji melangit Manifesto PH.

Tidak ramai yang sedar menjelang pelantikan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri PH yang pertama, Kerajaan Persekutuan PH ketika itu dianggotai oleh majoriti wakil rakyat yang bukan-Islam. Bermakna buat pertama kali dalam sejarah, Kerajaan Persekutuan Malaysia dibina atas kekuatan perwakilan Parlimen yang bukan-Islam, walaupun Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menterinya seorang Melayu Islam.

Demikian juga di negeri-negeri tertentu, di Pulau Pinang contohnya yang punya 40 kerusi Dewan Negeri, PH sapu bersih 37 kerusi. Dari 37 kerusi itu hampir 60 peratus atau 20 kerusi adalah diwakili ADUN bukan-Islam. Di Negeri Sembilan, dari 36 kerusi DUN, PH menang 20. Dari 20 kerusi DUN PH di Negeri Sembilan itu, 13 diwakili calon bukan-Islam iaitu bersamaan 65 peratus. Di Selangor pula terdapat 56 kerusi DUN, PH menang 51. Dari 51 itu DAP menang 15 (dengan 2 calon Melayu) manakala 3 calon PKR yang menang adalah bukan Islam. Ini bermakna dalam Kerajaan PH Selangor terdapat 18 ADUN bukan Islam termasuklah Spekaer Dewan.

Dominasi baru ini telah mempengaruhi banyak dasar dan program kerajaan kemudiannya antaranya sehingga memungkinkan jawatan-jawatan kritikal contohnya Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan Menteri Kewangan diangkat di kalangan bukan-Islam setelah berdekad-dekad ia disandang oleh yang Islam.

Kerajaan juga menjadi lebih Liberal tanpa mengambil kira sentimen dan sensitiviti umat Melayu Islam yang majoriti, perbelanjaan kerajaan yang melibatkan kepentingan umat Melayu Islam disemak dan dipertikai secara terbuka termasuklah belanja berkenaan kemajuan Islam dan malah pihak Istana. Golongan mungkar seperti LGBT mendapat tempat manakala desakan untuk meraktifikasi ICERD dan Statut Rom yang akan melemahkan status quo yang sedia ada cukup lantang. Lebih malang pihak pengganas Komunis yang merupakan musuh negara sebelum ini diraikan, abu mayat mendiang Chin Peng berjaya diseludup masuk dalam negara tanpa apa-apa tindakan dan propaganda pro Komunis masuk ke sekolah-sekolah.

Panjang lebar kesan akibat perubahan iklim politik ini, ringkasnya ia sangat menjejaskan nasib dan kepentingan umat Melayu Islam dan negara keseluruhannya.

Mujurlah usia Kerajaan PH sekadar bertahan 22 bulan, ia jatuh dan jatuh juga beberapa kerajaan negeri termasuklah Kedah, Perak, Sabah, Melaka dan Johor.

Untuk itu memperingati PRU ke-14 dan kini tuntutan agar PRU ke-15 segera diadakan, sewajarnya kita semua khasnya pimpinan politik Melayu Islam di luar PH ambil iktibar dan bermuhasabah atas apa yang telah pernah berlaku. Angkara perpecahan, angkara kegagalan merintis jalan penyatuan khasnya sesama umat Melayu Islam, kekuatan politik kita tergugat dan ia memberi kesan besar pada maruah agama dan bangsa.

Hari ini kekuatan politik umat Melayu Islam masih berpecah-pecah. Kita masih bersaing sesama kita, walau ada usaha untuk membawa ke jalan penyatuan tetapi masing-masing ego dan masih berkeras langsung lupa akan nestapa PRU ke-14 dulu.

Hari ini kita mungkin telah menguasai Putrajaya dan kebanyakan kerajaan-kerajaan negeri, tetapi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan masih di tangan PH. Ketiga-tiga negeri ini punya 43 kerusi Parlimen atau hampir 20 peratus dari 222 kerusi di Parlimen. Ia suatu angka yang tidak boleh dipandang remeh, kerana ia bakal menjadi penentu masa depan negara pasca PRU ke-15.

Oleh itu, sewajarnya semua pihak yang mewakili kepentingan politik umat Melayu Islam memandang serius perkara ini dan meletakkan kematangan berpolitik di hadapan kerana pertaruhannya adalah masa depan ummah. Bukan sahaja Putrajaya, Negeri Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang juga perlu dibela dan dirampas kembali dari tangan PH.

Ini tanggungjawab kita sebagai umat Islam dan PAS perlu ke hadapan dalam menjuarai isu penyatuan ini walau ramai sudah kelihatan berputus-asa dan berpatah arang. Perjuangan Islam yang kita galas hampir 7 dekad sewajarnya memandu kita untuk istiqamah memikul tanggungjawab menyelamatkan ummah, jangan berputus asa kerana umat Melayu Islam mengharapkan kita.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 12/5/2022

- Advertisement -