Isu makanan negara: Apa masalah kita?

- Advertisement -

BERITA melaporkan berkaitan jumlah import Malaysia dalam sektor makanan di mana ianya menuntut daripada maklumat tersebut kepada betapa perlu dan pentingnya rakyat negara ini prihatin serta ambil tahu kedudukan atau situasi sekarang serta masa depan kita bersama.

Antara yang disebut adalah kita mengimport daging kambing bernilai RM879.4 juta, mangga senilai RM87.9 juta, kelapa sebanyak RM266.1 juta dan daging lembu setinggi RM2.2 bilion pada tahun 2020. 

- Advertisement -

Kenapa sebanyak itu import kepada bahan makanan yang sebenarnya rakyat Malaysia mampu sediakan? Lembu dan kambing bukan binatang di kawasan salji atau negara 4 musim. Mangga pula hidup subur walau dengan hanya melempar butir ke halaman rumah, terus sahaja naik bercambah. Kelapa lagi lah tak perlu saya syarah.

Tetapi mengapa empat bahan tadi diimport sebanyak itu setiap tahun? Malaskah orang Malaysia? Atau ada rasional lainnya?

Malah pada tahun yang sama, Malaysia mengimport beras bernilai AS$620 juta sedangkan kita selalu dimomokkan dengan gelaran negeri jelapang padi, sawah nan luas terbentang serta pelbagai lagi metafora yang menggambarkan banyaknya tanah padi rakyat kita. Hakikat sebenar, beras diimport pada skala besar hingga meletakkan Malaysia di tangga ke sembilan negara pengimport beras dunia. Ironi bukan?

Isu ini bertambah serius dengan peperangan Rusia dan Ukraine yang tiada nampak mahu reda. Program Makanan Sedunia (WFP) sendiri telah memberi amaran krisis makanan yang bakal melanda dunia tidak lama lagi. Bahkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) juga menyebut, perang itu akan menyebabkan gangguan dalam aspek pengeluaran dan eksport yang sudah pasti menjejaskan keselamatan makanan secara global. 

Dengan keadaan Malaysia yang hanya menghasilkan 46 peratus sayur-sayuran, 70 peratus beras, 61 peratus buah-buahan dan 25 peratus daging dan 11 peratus daging kambing pada 2019, amaran dunia itu cukup menakutkan. 

Tidak cukup dengan itu, nilai ringgit yang terus jatuh berbanding dolar, akan mengakibatkan kos import bahan makanan bertambah tinggi dan ia akan diserap masuk ke dalam harga yang dibayar pengguna. Nilai not RM50 nanti akan jadi seakan-akan RM5. Tidak percaya? Tunggu sahaja apabila ia berlaku nanti. 

Kini rakyat harus bijaksana, belanjakan wang dengan teratur dan elakkan pembaziran, melancong, pembelian barangan import, beli makanan yang murah tetapi kekal berkhasiat serta sedap untuk hidangan keluarga. Inilah masa yang tepat untuk membanyakkan tabungan kita. 

Tanah-tanah keliling rumah kita yang sejengkal kera itu manfaatkan semaksimanya. Tanam sahaja serai, cili, sayur-sayur ringkas. Hujung pagar pacak sahaja batang-batang ubi kayu yang boleh memberikan hasil ubi setelah 5-7 bulan tercegat di situ. Cadangan ini bunyinya lekeh bukan? Tetapi jika ramai yang melakukannya, kita boleh membuat perubahan besar.

Tanah-tanah terbiar di seluruh negara kini cukup luas. Kosong di sana dan naik semak di sini. Petani ada yang berminat tetapi dihambat pula masalah modal. Orang muda yang kederatnya banyak, ada idea dan kesungguhan, minat dan ‘passion‘ perlu dihulurkan bantuan kerajaan.

Masih belum terlambat untuk Malaysia memberikan tumpuan dan fokus kepada industri makanan negara ini. Perbanyakkan sidang meja bulat, diskusi, town hall, perbincangan dan apa sahaja ruang yang ada serta resolusi segera harus diterjemah ke dalam bentuk tindakan. 

Ini bukan masanya untuk beretorik, ia masa untuk bertindak. Peranan agensi dan jabatan berkaitan pertanian, veterinar, perikanan, industri makanan harus diperkasa. 

Seterusnya kaedah penyimpanan makanan negara wajib diperhebat. Kaedah sejuk beku, kaedah vakum, kaedah pengeringan, kaedah stor dan gudang serta apa juga cara, negara harus ada stok makanan yang cukup untuk semua.

Kita telah belajar semua perkara ini bukan? Kisah mimpi Raja Mesir yang melihat 7 ekor lembu gemuk dimakan oleh 7 ekor lembu kurus. Lalu Baginda memanggil semua pakar tafsir mimpi dan ahli nujum satu negara untuk mentafsir mimpi tersebut. Malangnya tiada seorang pun yang dapat memberikan tafsiran yang tepat. 

Akhirnya sang raja mengetahui cerita seorang banduan daripada penjara Mesir yang pandai mentafsir mimpi. Orang itu kemudiannya dipanggil Raja Mesir untuk mentadbir mimpi tadi. Dia adalah Nabi Yusuf. Baginda mentafsirkan bahawa negara Mesir akan hadapi 7 tahun musim subur dan 7 tahun musim kemarau.

Lalu Nabi Yusuf menasihati agar simpan separuh gandum yang dituai selama 7 tahun bersama tangkainya. Ia untuk kegunaan di musim kemarau selepas daripada itu. 

Ini pengajaran asas yang semua orang Islam pernah dengar bukan? Iktibar besarnya adalah ketika ekonomi dalam keadaan baik dan bagus, banyakkan simpanan negara. Makanan atau komoditi lainnya kerana apabila datang saat gawat, simpanan makanan dan sumber tadi cukup untuk semua rakyat. 

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 12/5/2022

- Advertisement -