Formula penyelesaian menyatukan ummah

- Advertisement -

Oleh NASRUDIN HASSAN

SEMANGAT Syawal masih membahang. Tidak sekadar meriah dengan open house di sana sini, tetapi juga puasa enam yang akan menjadi junnah/perisai sepanjang tahun dan tentunya juga semangat bermaaf-maafan pada zahir dan batinnya.

Tentu sahaja pemimpin politik umat Islam turut memiliki semangat Syawal ini. Sementelah kita semua baharu sahaja keluar dari bengkel Ramadan yang mendidik jiwa agar mampu menguasai dan mengawal gejolak nafsu.

Harapan saya, kita semua bahkan seluruh umat Islam di bumi bertuah ini adalah mahu melihat umat Islam kuat, harmoni, tenang dan sejahtera. Bukan hanya pada diri, keluarga dan masyarakat, tetapi juga pada politik umat Islam keseluruhannya.

- Advertisement -

Sudah sampai masanya kita semua mengusahakan iklim politik umat Islam yang kukuh, stabil, hebat dan kuat. Namun ia hanya dapat dicapai apabila parti-parti politik umat Islam dapat bekerjasama erat serta bersatu padu.

Para pemimpin merekalah yang menjadi sandaran umat Islam untuk melihat negara ini stabil politik dan ekonominya di bawah pentadbiran dan pemeritahan Islam.

Izinkan saya mengingatkan formula penyelesaian untuk usaha menyatukan ummah menerusi kerjasama parti-parti politik umat Islam yang telah diketahui dan difahami oleh kita semua khasnya para pemimpin politik umat Islam.

Maafkan saya jika artikel ini agak panjang. Pada yang sudi, marilah kita usahakan formula ini bersama.

a) Hentikan tindakan berbalas serangan di media

Ia satu tindakan yang merugikan umat Islam. Berkelahi di tengah balai, disaksikan oleh jutaan masyarakat termasuk non-Muslim, hanya mempamerkan sudut negatif terhadap Islam.

Tidak bosankah kita asyik berkelahi sesama umat sepanjang zaman? Tidak rindukah kita pada kedamaian dan ketenangan?

Impaknya bukan hanya pada diri kita, tetapi pada kestabilan politik dan ekonomi negara. Kita tidak mahu kuasa politik dan ekonomi terlepas dari pegangan umat Islam ekoran perpecahan ummah yang berpanjangan.

b) Usah bersikap ‘telunjuk lurus kelingking berkait’

Mutakhir, banyak kenyataan yang menyentuh mengenai penyatuan umah dari pelbagai pihak. Alhamdulillah. Namun perlu diperbaiki kenyataan itu agar tidak diselit elemen menyalahkan pihak lain dan menimbulkan ketegangan yang tidak sudah.

Jangan menulis atau berucap dengan rasa marah dan panas. Rasa puas hati boleh membidas, rasa bangga boleh memukul lawan dan seronok mengungkap kesilapan mereka. Kerana tentunya, ia akan mengundang kenyataan balas untuk mempertahankan diri. Maka, sampai bila?

Justeru itu, semua pihak mesti cool and steady. Buka lembaran baharu. Cipta rekod baharu. Bina masa depan yang baharu. Lakukan tajdid (penbaharuan) dan taghyir (perubahan) ke arah politik Islam berwajah Malaysia yang baharu.

c) Jangan terperangkap dalam permainan musuh Islam

Umumnya mereka menggunakan media upahan mereka untuk melaga-lagakan pemimpin politik umat Islam. Sangat diketahui bahawa sebahagian media mempunyai warlord yang mengatur rencana mereka.

Jangan terpedaya lalu percaya, bertindak dan mengulas hanya berdasarkan olahan dan ulasan media yang dipengaruhi oleh warlord ini.

d) Bertemu segera dalam suasana mahabbah (berkasih sayang) dan semangat menyatukan ummah.

Meskipun berbeza ideologi politik, kita masih ada asas untuk bersatu. Apatah lagi yang beza itu hanya sedikit sedang yang sama itu banyak.

Paling tidak kita berdiri dia atas point yang mana kita tetap sama padanya, iaitu agama kita sama, tuhan kita sama, nabi kita sama, kiblat kita sama dan kitab kita sama.

Maka perbezaan apa yang menyulitkan kita untuk bertemu, berbincang dan menyatukan ummah sehingga kita merelakan musuh Islam melebarkan cengkaman kuasa dan pengaruh mereka ke atas umat Islam.

Saya tidak mahu memanjangkan lagi artikel ini. Meskipun banyak perkara yang mahu ditatah. Dengan segala rendah diri serta menyedari siapalah saya untuk menasihati para pemimpin politik yang hebat serta berpengalaman.

Hanya menyuarakan harapan dari hati yang mahu melihat Islam menjadi hebat di bumi bertuah ini. Semoga semangat Syawal menyatukan ummah.

Apakah ada sinar di hujung terowong gelap ini? Semoga Allah memberi petunjuk-Nya kepada kita semua. – HARAKAHDAILY 12/5/2022

- Advertisement -