Dun Kelantan pernah lulus Enakmen Antilompat

Oleh AIN MANAF | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
PAS secara dasar bersetuju sekiranya Rang Undang-undang (RUU) Akta Anti Lompat Parti dilaksanakan di negara ini, kata Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah.

Namun katanya, perkara itu kini masih lagi di bawah bidang kuasa Parlimen untuk membuat sebarang keputusan sama ada meluluskan atau sebaliknya.

“Jadi sekarang kita serah kepada Kabinet untuk membuat keputusan. Saya difahamkan dari segi pelaksanaan ada beberapa isu teknikal.

“Jadi kita serah kepada Kabinet, parti tak boleh buat apa-apa sebab itu bidang kuasa kabinet,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Kelantan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammed IV hari ini.

Advertisement

Turut hadir Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Menteri Alam Sekitar Dan Air (KASA) Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Seri Mustapa Mohamed.

Speaker Dun Kelantan Dato’ Abdullah Ya’kob, anggota-anggota Exco, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dato’ Ahmad Marzuk Shaary dan wakil-wakil rakyat.

Persidangan Khas Dewan Rakyat pada April lepas menyerahkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 kepada Jawatankuasa Pilihan Khas.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Jawatankuasa Khas itu akan meneliti dan memuktamadkan draf RUU Pindaan Perlembagaan dan RUU berkaitan larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti.

Mohd Amar yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri berkata, Dun Kelantan sebelum ini pernah meluluskan enakman berkenaan, namun dibatalkan oleh mahkamah.

“Sekarang difahamkan kabinet sedang memperhalusi secara teknikal isu yang timbul. Sekiranya perkara itu dibentang kita akan sokong, memandangkan kita sekarang sebahagian daripada kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/5/2022