Cikgu Anita wanita luar biasa jelajah 7 benua

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

Anita Yusof menjadikan senarai rakyat Malaysia berjiwa pengembara yang menjelajah dunia secara solo bertambah panjang.

Jika sebelum ini, hanya lelaki mempamerkan semangat luar biasa seperti Datuk Azhar Mansor yang muncul pelaut pertama negara mengelilingi dunia secara solo pada 1999 dan Shamsurrijal Abdul Jamil yang memandu Proton Satria 1.8 GTi pada 2003 menjelajah dunia pada 2003.

- Advertisement -

Namun, bekas pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) Ipoh yang lebih mesra dipanggil Cikgu Anita, 54, memecah tradisi dengan menjadi wanita pertama Malaysia menunggang motosikal mengembara ke seluruh dunia.

Menceritakan permulaan kembaranya, Anita menyatakan dia memang seorang backpacker tegar dan suka mengembara menggunakan pengangkutan awam seperti kapal terbang, kereta api dan bas.

“Segalanya bermula apabila saya melihat gambar menarik di Kyrgyzstan, sebuah negara Asia Tengah yang sangat cantik dalam blog Zahariz Khuzaimah.

“Saya menghubunginya untuk mengetahui cara melawat tempat menarik di Kyrgyzstan. Dia beritahu bahawa pengangkutan awam di negara itu sangat terhad dan perlu mempunyai pengangkutan sendiri untuk melawat di sana,” katanya.

Anita berkata, Zahariz yang mengembara dengan berbasikal mencadangkan menunggang motosikal kerana kos untuk menyewa kenderaan pacuan empat roda bersama pemandu di Asia Tengah mahal, selain dia sendiri tidak mampu mengayuh basikal.

Zahariz kemudian memperkenalkannya dengan Hadi Hussein, pengembara yang menaiki kapcai dari Kuala Lumpur ke London dan selepas perbincangan, Anita membuat keputusan belajar menunggang motosikal.

Anita Yusof bersama dua anaknya selepas menamatkan Global Dream Ride pertama pada 2016

Lebih suka bergerak secara solo, Anita mula belajar menunggang motosikal pada April 2012 dan walaupun hanya mempunyai pengalaman tiga tahun mengendalikan jentera dua roda itu, dia memulakan pengembaraan pada 2015 yang dinamakan sebagai Global Dream Ride.

Walaupun belum cukup mahir menunggang di off-road dan kekangan dana, Anita tidak menoleh ke belakang dan memulakan pengembaraan di Seattle, Amerika Syarikat, pada 11 September 2015.

Anita menjelajah 40 negara seperti Mexico, Colombia, Chile, Turki dan Mongolia di empat benua dengan jarak 65,369 kilometer dan kembali ke tanah air pada 16 September 2016. Sepanjang pengembaraan, dia menggunakan Yamaha FZ 150i, sebuah motosikal berkuasa kecil, berbanding majoriti pengembara jarak jauh menggunakan motosikal kuasa besar.

Selepas menamatkan Global Dream Ride pertama, Anita mengembara selama dua bulan di New Zealand selain Afrika Selatan pada 2018.

“Selesai kembara di Afrika Selatan, saya mengambil keputusan pulang ke Malaysia bagi menyambung tugas, manakala motosikal ditinggalkan di rumah kenalan di Cape Town.

“Oleh kerana sudah biasa menggembara dan memang tidak boleh duduk diam, akhirnya selepas bersara, saya mengambil keputusan meneruskan Global Dream Ride 2,” katanya.

Motosikal berkuasa 150CC yang ditunggang Anita Yusof mengelilingi dunia

Namun Anita memulakan Global Dream Ride 2 dengan langkah kiri apabila pengembaraan bermula dari Cape Town terhenti di Ethiopia apabila dunia dilanda wabak Covid-19. Ini menyebabkannya terpaksa meninggalkan motosikal di Ethiopia sebelum terbang ke Tanzania untuk berehat seketika dan kemudian pulang ke tanah air, tahun lalu.

Januari lalu selepas pelbagai kerenah birokrasi, Anita mengambil motosikalnya yang terkandas di Ethiopia selama 17 bulan dan dihantar ke Jeddah, Arab Saudi, untuk meneruskan misinya dengan mengembara di Timur Tengah dan kemudian ke Turki, Eropah, Amerika Syarikat, Amerika Selatan sebelum ke Australia dan kembali ke Malaysia.

Ketika ini, dia berada di Oman selepas menjelajah Emiriyah Arab Bersatu, Bahrain, Qatar serta sempat menunaikan umrah ketika berada Arab Saudi.

Menceritakan beberapa pengalaman lampau, katanya ketika berlatih di Indochina dengan pengalaman menunggang motosikal hanya selama 43 hari, cukup menakutkan ketika perlu memotong lori dan bas bersaiz besar.

“Pernah di Laos, saya berada di kawasan tanah tinggi dengan sebelah kiri jalan adalah hutan belantara, manakala di sebelah kanan adalah gaung yang dalam.

“Hari sudah malam, namun kami masih belum sampai ke destinasi. Suasana gelap-gelita, hanya lampu motosikal menerangi jalan. Saya terlalu penat, ditambah dengan belum cekap menunggang menyebabkan beberapa kali hampir terjunam ke dalam gaung,” katanya.

Anita Yusof menjadi tumpuan ketika singgah di Madinah, Arab Saudi

Anita juga pernah kehilangan wang dan hanya tinggal dalam dompet, matawang tempatan bernilai RM75 sedangkan ketika itu berada beribu-ribu kilometer dari tanah air.

Ketika di Asia Tengah, katanya pengalaman menakutkan ketika melalui laluan off-road di kawasan pergunungan Kyrgyzstan dan Tajikistan.

Katanya, mendaki dan menuruni cerun curam dan kadang-kadang dipenuhi batu-batu besar sangat mencabar, manakala halangan alam semula jadi seperti salji yang mencair atau salji runtuh menyebabkan jalan perlu dilalui dengan berhati-hati.

“Motosikal pernah hampir tergelincir apabila tidak dapat mengelak ais di atas jalan. Semua itu terpaksa ditempuhi kerana hanya jalan itu yang ada untuk tiba ke destinasi,” katanya.

Halangan alam semula jadi lain, katanya termasuk angin kencang di Uzbekistan, ribut pasir di Afghanistan serta kabus tebal di pergunungan Yunnan, China, yang menyebabkannya langsung tidak nampak kawasan sekeliling.

Apabila mengembara sendirian di tempat yang sungguh asing, katanya hikmahnya ialah membuatkannya keluar dari zon selesa, membuatkannya muhasabah diri sendiri dalam erti kata yang sebenar-benarnya dan menyerahkan sepenuhnya diri kepada Allah.

“Ketika pengembaraan mencabar seperti yang saya lakukan, saya tidak punya sesiapa melainkan Dia. Jika saya dalam kesusahan, hanya kepadaNya saya memohon pertolongan.

“Perasaan ini hanya hadir apabila saya mengembara sendirian dan saya amat merindui perasaan ini. Sebab itu, setiap dua atau tiga bulan, saya akan bermusafir sendirian sebab sudah tidak tertahan dengan kerinduan untuk merasai perasaan itu,” katanya.

Anita Yusof menikmati keindahan alam ketika pengembaraannya

Pada masa sama, katanya banyak juga pengalaman manis, terutama kemesraan penduduk tempatan, terutama di Asia Tengah yang sentiasa terpahat di hati seperti diberi penginapan percuma, makan-minum percuma, malahan ada yang memberikan wang.

Anita berkata, pernah terpaksa menumpang bermalam di rumah penduduk di kawasan pergunungan. Walaupun miskin dan keadaan rumah kelihatan daif, keluarga berkenaan sangat baik dan memberikan pertolongan tanpa mengharapkan balasan.

Sementara itu, katanya mengembara bukan hanya bergantung kepada wang, tetapi faktor lebih penting ialah pengetahuan mengenai kawasan yang ditujui.

“Memang benar wang akan melancarkan segala rancangan dengan syarat sanggup bayar seseorang seperti pemandu pelancong, tetapi wang tidak akan dapat menolong jika tersadai di tempat terpencil yang tidak ada orang,” katanya.

Sebab itu, katanya ketika sebelum mengembara ke Asia Tengah, penyelidikan terperinci dilakukan melalui internet hampir setiap hari dan membaca untuk mendapatkan maklumat.

Bagi berkongsi pengalaman menunggang motosikal di seluruh dunia, Anita menulis buku berjudul “Kembara Solo Stans Asia Tengah”‘ dan “Global Dream Ride” dengan sebahagian hasil jualan digunakan untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di negara kembaranya.

Pencapaian Anita Yusof

  1. Memegang dua rekod Malaysia Book Of Records (MBOR) sebagai wanita pertama negara menunggang solo ke lima negara di Asia pada 2013.
  2. Mencatat nama dalam Asia Book Of Records sebagai wanita menunggang motosikal paling lama secara solo mengelilingi dunia.
  3. Wanita Muslim pertama di dunia menunggang motosikal mengelilingi dunia.
  4. Tokoh Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan dipilih sebagai Ikon Negaraku.
  5. Diundang berkongsi pengalaman dan kepakaran di dalam serta luar negara. – HARAKAHDAILY 12/5/22
- Advertisement -