Bubar PAS: Perubahan Umno jangan hanya atas kertas

- Advertisement -

DEWAN Ulamak PAS Pusat mengambil maklum berkenaan kenyataan Setiausaha Agung Umno, YB Datuk Seri Ahmad Maslan yang mencadangkan PAS dibubarkan kerana Umno turut membawa wadah perjuangan Islam dan sudah meminda perlembagaan partinya pada 2019 dengan meletakkan agenda mempertahan dan mendukung cita-cita agama Islam sebagai asas dan tujuan utama, berbanding hanya mendukung perjuangan kebangsaan Melayu.

- Advertisement -

Dewan Ulamak PAS Pusat ingin menzahirkan rasa syukur dengan perubahan yang telah dibuat pada 2019, kerana peruntukan Fasal 3.1 Perlembagaan Umno tersebut adalah selari dengan apa yang diperjuangkan oleh PAS sejak awal penubuhannya pada tahun 1951. Dewan Ulamak PAS Pusat bersedia untuk membantu Umno bagi memastikan perubahan yang dibuat bukan sekadar di atas kertas sahaja dan Umno benar-benar jujur untuk menegakkan Islam seperti yang diperjuangkan oleh PAS.

Dewan Ulamak PAS Pusat juga ingin memaklumkan bahawa, PAS bukanlah semata-mata sebuah pertubuhan politik yang memperjuangkan Islam dari aspek Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan sahaja, tetapi PAS memperjuangkan Islam sebagai aqidah dan syariat serta menjadikannya sebagai panduan berpolitik dan bernegara.

Dewan Ulamak PAS ingin menegaskan bahawa, PAS menjadikan Islam dan sumber-sumber hukumnya sebagai dasar dan panduan berpolitik dan berorganisasi sebagaimana dituntut oleh kehendak Perlembagaan PAS di dalam Fasal 3 (Dasa), Fasal 5 (Tujuan PAS), Fasal 6 (Usaha-Usaha) dan Fasal 7 (Hukum dan Kekuasaan). Bahkan menjadi tanggungjawab kepada semua ahli PAS untuk taat dan patuh kepada hukum-hukum dan ajaran-ajaran Islam yang menjadi dasar PAS sebagaimana dituntut oleh Fasal 85(1) Perlembagaan PAS (Pindaan 2020). 

Justeru, Dewan Ulamak PAS Pusat berpendirian bahawa, cadangan supaya PAS dibubarkan adalah tidak relevan kerana Fasal 3, 5, 6 dan 7 Perlembagaan PAS (Pindaan 2020) terlalu jauh untuk dibandingkan dengan Fasal 3.1 Perlembagaan Umno.

YB SENATOR USTAZ DATO’ AHMAD YAHYA
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat – HARAKAHDAILY 12/5/2022

- Advertisement -