Usaha membelat sungai di lokasi runtuhan giat dilakukan

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

POKOK SENA:
Loji Rawatan Air (LRA) di Jenun Baharu dan Jenun Lama masih beroperasi walaupun sebelum ini dijangka mengalami gangguan akibat runtuhan ban Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di terusan tengah Padang Luar, Pelubang.

Kejadian itu menyebabkan 13,000 pengguna sekitar Pokok Sena mengalami gangguan bekalan air sejak petang kelmarin.

- Advertisement -

Menteri Besar Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, sungai di terusan tengah Padang Luar merupakan sumber utama Syarikat Air Darul Aman (SADA) untuk menggerakkan LRA di Pokok Sena, Jenun Baharu dan Jenun lama.

“Namun pagi tadi LRA di Pokok Sena terpaksa ditutup, manakala dua LRA lagi masih beroperasi seperti biasa,” katanya selepas melawat kerja-kerja pembaikan di lokasi kejadian, semalam.

Kata beliau juga kerja-kerja membelat sungai dilakukan untuk menakung air sehingga paras 4.9 meter sebelum air dilepaskan ke terusan membolehkan LRA beroperasi semula.

Menurutnya kerja-kerja membelat sungai dijangka selesai esok dengan mengambil kira kerja keras pihak terlibat sejak malam semalam.

“Untuk sementara SADA menyediakan tiga jumbo tanker dan beberapa lori kecil untuk penghantaran bekalan air kepada 13,500 rumah pengguna di Pokok Sena yang terjejas.

“Selain itu menyediakan tangki statik untuk memudahkan pengguna yang terjejas mendapatkan bekalan air.

“Pengguna di Alor Setar, Gurun dan Yan pula dinasihat menghadkan penggunaan air kerana kita tidak tahu LRA (Jenun Baharu dan Jenun Lama) dapat bertahan berapa lama,” ujar beliau.

Difahamkan sebanyak RM300,000 diperlukan untuk kos kerja-kerja membelat sungai, manakala RM1.8 juta untuk membaiki ban yang runtuh. – HARAKAHDAILY 11/5/2022

- Advertisement -