Projek takungan besar atasi masalah bekalan air

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
Pembinaan takungan air besar dijangka dilaksanakan di Kelantan tahun ini bagi menyelesaikan masalah bekalan air di seluruh negeri itu.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, pendekatan itu merupakan salah satu usaha kerajaan bagi menyelesaikan masalah berkenaan bagi tempoh jangka panjang.

Katanya, lokasi yang akan dibina empangan besar itu dikenal pasti di Machang.

“Projek itu sebagai usaha untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi rakyat sekarang.

“Kerajaan memahami masalah yang membelenggu rakyat bagi mendapat bekalan air yang lebih sempurna. Jadi kita berharap dengan adanya takungan tersebut masalah bekalan isu air dapat diatasi,” ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

- Advertisement -

Sebelum ini beberapa lokasi di Kelantan berdepan masalah tekanan rendah sehingga menyebabkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) terpaksa menghantar bekalan air menggunakan lori kepada pengguna.

Bagaimanapun kepulangan kira-kira 2 juta perantau ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru tidak banyak lokasi yang terjejas memandangkan hujan turun hampir seluruh jajahan.

Mohd Amar juga berkata, projek itu dijangka siap dalam tempoh beberapa tahun bagi mengatasi masalah bekalan air terutamanya di kawasan hujung paip dan lokasi tinggi.

“Takungan itu menggunakan sumber air bawah tanah sebagai bekalan utama sebelum disalurkan kepada pengguna.

“Projek takungan air itu akan dilaksana di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 yang dianggar melibatkan kos sebanyak RM7 bilion.

“Peruntukan itu termasuk juga projek menukar sistem paip lama melibatkan jarak 5,000 kilometer serta pembinaan loji-loji rawatan air yang baharu,” tambahnya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri sebelum ini berusaha dengan pelbagai cara bagi mengatasi masalah bekalan air bersih.

Namun katanya disebabkan wujud perbezaan politik antara kerajaan Persekutuan dan negeri sejak 1990, menyebabkan Kelantan tercicir daripada menerima peruntukan bagi meningkatkan projek bekalan air.

“Antaranya pembatalan projek air Kelantan Utara bernilai RM600 juta pada 1990,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/5/2022

- Advertisement -