PAS tetap komited perkukuh penyatuan ummah

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
PAS tetap komited dengan matlamat kesatuan ummah dengan memperkukuhkan politik Melayu dan penyatuan umat Islam.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, PAS akan meneruskan kerjasama Muafakat Nasional (MN) bersama Umno tanpa meninggalkan Perikatan Nasional (PN).

“PAS berpegang kepada keputusan pimpinan tertinggi dan Majlis Syura memperkukuhkan MN dan memperkasakan PN demi politik umat Islam dan Melayu di negara ini,” katanya selepas mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

- Advertisement -

Menurutnya PAS konsisten bersama PN dan MN dan tidak mempunyai sebarang masalah sama ada dengan Umno atau Bersatu.

Bagaimanapun kata beliau sekiranya Umno mempunyai masalah, mereka perlu menyelesaikannya sendiri.

Baru-baru ini Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada kenyataannya menyifatkan MN perlu dilupakan pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Sanusi yang juga Menteri Besar Kedah mengingatkan pihak yang cuba menimbulkan kontroversi untuk mengganggu-gugat MN segera memberhentikan perbuatan tersebut.

“Dalam keadaan umat Islam berdepan dengan pelbagai cabaran di seluruh dunia yang datang dari pelbagai penjuru, ubat yang terbaik ialah memperkukuh perpaduan dan kerjasama.

“PN dan MN mampu memperkukuhkan perpaduan umat Islam dan Melayu di negara ini kerana kedua-duanya mempunyai kepentingan sama,” tambah beliau yang juga Pengerusi PN Kedah. – HARAKAHDAILY 11/5/2022

- Advertisement -