Muhammad Hakim Danish juara dalam bikinan

Muhammad Hakim Danish (paling kiri) menduduki tempat kedua perlumbaan kedua Kejohanan FIM JuniorGP
- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kejayaan Muhammad Hakim Danish Ramli, 15, meraih podium pertama di Kejohanan FIM JuniorGP Pusingan 1 di Portugal, Ahad lalu, meneruskan tradisi Malaysia melahirkan pelumba hebat dalam arena permotoran dunia.

Pelumba berbakat besar dari Kuala Terengganu itu memenangi tempat kedua di perlumbaan kedua European Talent Cup di Litar Estoril selepas hanya menduduki tempat kelima pada perlumbaan pertama.

- Advertisement -

Pada perlumbaan pertama, Muhammad Hakim Danish bermula di petak ke-10, tetapi berjaya menunggang dengan mantap untuk menduduki tempat kelima. Pada perlumbaan ini, dia berjaya mengendalikan jenteranya dengan baik walaupun diasak pelumba lain yang juga pantas.

Muhammad Hakim Danish bermula dari petak ke-12 pada perlumbaan kedua. Namun kali ini, mekanik Pasukan Monlau yang membuat penambahbaikan terhadap jentera Honda NSF250 membolehkannya memecut meninggalkan pelumba lain untuk berada di belakang juara, Joel Esteban dari Pasukan Junior Aspar. Tempat ketiga dimenangi oleh Rico Salmela dari Pasukan Lumba Estrella Garcia.

“Saya sangat gembira dengan keputusan perlumbaan kedua kerana ini adalah kali pertama berjaya naik di podium Piala Bakat Eropah. Terima kasih kepada pasukan kerana aksi pada perlumbaan kedua jauh lebih baik,” katanya yang ditaja oleh SIC Racing Team dan dibimbing oleh Zulfahmi Khairuddin dari ZK Racing.

Kejayaan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Mansor bukan sesuatu yang mengejutkan kerana pada usia lapan tahun, bapanya, Ramli Ibrahim, memperkenalkannya dengan sukan permotoran melalui penyertaan dalam perlumbaan di beberapa negeri.

Aksi mantap Muhammad Hakim Danish (pelumba hadapan) di Litar Estoril, Portugal

Kemuncaknya ialah menjuarai Kejohanan Permotoran SIC MiniGP di Litar Kart Antarabangsa Sepang, tahun lalu, sekali gus menempah tiket ke Kejohanan Idemitsu Asia Talent Cup (ATC) di Qatar pada tahun yang sama.

Di Litar Antarabangsa Losail, pelumba cilik ini yang kali pertama bersaing pada Kejohanan Idemitsu ATC turut melakukan kejutan apabila menempah petak kedua pada sesi kelayakan sebelum menamatkan perlumbaan pusingan pertama di kedudukan ketiga.

Pada usia 14 tahun, Muhammad Hakim yang menjadikan pelumba Repsol Honda, Marc Marquez dan pelumba negara, Adam Norrodin sebagai idolanya adalah antara peserta termuda pada Kejohanan Idemitsu ATC 2021 dan bersaing dengan 21 peserta remaja lain dari lapan negara Asia Pasifik, termasuk Thailand, Indonesia dan India.

Mac lalu, Muhammad Hakim, sekali lagi memahatkan namanyadi arena permotoran dengan menjuarai perlumbaan pertama dan kedua saingan ATC di Litar Mandalika, Lombok, Indonesia, meninggalkan dua pelumba Jepun di tempat kedua dan ketiga. – HARAKAHDAILY 11/5/22

- Advertisement -