Jangan ajar Kelantan jadi ‘Terengganu dulu’

BILA kita beritahu peranan Kerajaan Persekutuan bagi membantu negeri dalam isu air, ada komen-komen yang menghentam Kerajaan Negeri Kelantan dengan ayat ‘apa gunanya Kerajaan Negeri jika semuanya Pusat nak buat, baik bubarkan je.’

Advertisement

Jawapan santainya, ‘apa guna Kerajaan Persekutuan, kalau semua kerajaan negeri kena buat, baik negeri keluar je Malaysia’. 

Terutamanya Terengganu semasa zaman Umno mentadbir, sudah layak buat negara sendiri. Semua benda nak dibuat sendiri sehingga Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang jelas-jelas di bawah kuasa Persekutuan pun, guna duit Kerajaan Negeri Terengganu. 

Bukan sedikit, Kerajaan Persekutuan masih berhutang RM1.2 bilion daripada kos asal RM1.4 bilion duit negeri. Hingga Kerajaan Negeri hari ini terpaksa panjat tangga Putrajaya berkali-kali dalam usaha selesaikan masalah tinggalan Umno ini. 

Ibarat, perlukan pada kereta syarikat, tapi kena guna duit dari poket sendiri beli kereta syarikat. Kalau tak ada duit, buat pinjaman atas nama sendiri, bayar bulanan dari poket sendiri. Walhal itu tanggungjawab syarikat, cerdiknya kita, kita beli. 

Begitu juga isu bekalan air, sekali lagi Terengganu guna duit Kerajaan Negeri melalui ‘deferred payment‘ sebanyak RM2 bilion. Setiap tahun Kerajaan Negeri terpaksa bayar balik kepada (bahasa mudahnya) pihak swasta ratusan jutaan ringgit. 

Dalam ucapan Belanjawan Terengganu, dinyatakan pada tahun 2021, jumlah ‘deferred and scheduled payment’ yang perlu dibuat oleh Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM439.75 juta. Tahun 2020 pula sebanyak RM403.48 juta. 

Lepas itu juak-juak Umno tanya, ke mana duit Royalti? Coi…..

Sedangkan Pulau Pinang dapat RM1.3 bilion peruntukan dari Persekutuan untuk bekalan air bagi pembinaan Empangan Mengkuang. 

Selangor dapat peruntukan dari Persekutuan sebanyak RM3.7 bilion untuk Loji Air Langat 2. Bahkan untuk rekod, dari tahun 2010-2018, Selangor dapat RM22.3 bilion peruntukan termasuk dari Rancangan Malaysia (RMK) untuk bekalan air.  

Pahang pula dihapus kira hutang bekalan air oleh Kerajaan Pusat sebanyak RM2.1 bilion. 

Kenapa Pulau Pinang, Selangor dan Pahang boleh dapat peruntukan dari Persekutuan dalam bangunkan bekalan air, alih-alih Terengganu guna duit Kerajaan Negeri bayar hutang swasta, dan anda ajar Kelantan untuk ikut Terengganu. 

Kemudian duk heboh, inilah komitmen Umno untuk rakyat, apa salahnya hutang demi kepentingan rakyat? 

Masalahnya negeri lain boleh free, yang kau kena bayar sendiri dan ‘berhutang’ dengan swasta kenapa? Cerdik negeri mana? Terengganu ke, Selangor ke, Pulau Pinang ke, Pahang?

Orang lain boleh guna jalan, malah lebih baik, orang lain juga boleh ada air, tapi mereka tak keluar duit sendiri dan tak pening fikir bayar hutang. Kita pun ada jalan walau beralun-alun macam ombak di persisiran dan ada air, tapi kena keluar duit sendiri dan pening bayar hutang. 

Benda boleh dapat bantuan, tapi kenapa nak bayar? Terengganu pilih pening membayar. Nampak tak betapa, cerdiknya Terengganu di bawah Umno?

Jangan ajar Kelantan ikut pendekatan seperti Umno Terengganu kerana kita masih ada peruntukan melalui Persekutuan. Jika cadang pinjaman dengan Persekutuan pun ok lagi, silap-silap boleh dapat hapus kira RM2.1 bilion macam Pahang.

Bayangkan RM3.4 bilion (RM1.4 bilion + RM2 bilion) duit kerajaan negeri ini diuruskan dengan baik untuk pembangunan negeri yang lain, dalam masa sama LPT2 dan bekalan air Terengganu dilaksanakan dengan bantu Kerajaan Persekutuan, bukankah Terengganu akan lebih berdaya maju?

Tapi apa boleh buatkan? Benda pun dah guna, hutang pun dah kena mula bayar. Enjoy je lah Kerajaan Terengganu sekarang kerana ‘kecerdikan’ kerajaan lampau.

Itu kita tak senaraikan projek sakit dan gajah putih yang bernilai ratusan jutaan ringgit yang ditinggalkan di Terengganu. Hairan, macam mana boleh dijadikan Terengganu di bawah Umno sebagai contoh?

AHMAD FAHMI MOKHTAR
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 11/5/2022