TNB: Inisiatif kestabilan dan jaminan bekalan untuk rakyat

- Advertisement -

TENAGA Nasional Berhad (TNB) adalah syarikat milik Kerajaan (GLC) Malaysia yang merupakan satu-satunya syarikat utiliti elektrik di Semenanjung Malaysia yang menyediakan perkhidmatan elektrik kepada seluruh pengguna domestik dan industri. 

- Advertisement -

Dalam memainkan 3 peranan utama iaitu penjanaan, penghantaran dan pengagihan bekalan tenaga elektrik, TNB berperanan sebagai firma monopoli dan monopsoni.

Umum mengetahui bahawa TNB adalah firma yang memonopoli bahagian pengagihan bekalan elektrik untuk pengguna bagi Semenanjung Malaysia. Ini bermakna TNB mendominasi penjualan elektrik kepada pengguna di seluruh Semenanjung Malaysia.

Selain itu, TNB juga adalah pemilik utama seluruh aset dalam jaringan sistem penghantaran tenaga elektrik ke seluruh Semenanjung. Ini bermaksud, dengan kemampuan saiz modal yang besar, secara tidak langsung TNB menjadi firma yang mampu memonopoli bahagian penghantaran.

Seiring dengan komitmen untuk memastikan perkhidmatan lebih cekap dan ketersediaan elektrik untuk pengguna terjamin, Kerajaan Malaysia telah membenarkan penjana tenaga bebas (IPP) menjadi sebahagian daripada firma-firma penjanaan elektrik untuk TNB. Mengikut data daripada ‘factsheets’ Suruhanjaya Tenaga (EC), sehingga 2013 keseluruhan firma-firma IPP mempunyai pegangan sebanyak 47 peratus daripada kapasiti penjanaan di Semenanjung.

Melalui perjanjian pembelian tenaga (PPA), TNB adalah pembeli tunggal (Single Buyer) terhadap tenaga elektrik yang dijana oleh semua IPP dan semua firma penjana milik TNB sendiri . Keadaan ini menjadikan TNB sebagai firma monopsoni yang membeli tenaga elektrik sebelum dialir masuk ke dalam sistem penghantaran dan diagihkan untuk jualan bekalan elektrik kepada seluruh pengguna domestik atau industri.

Dalam teori ekonomi, pasaran monopoli (single seller) dan monopsoni (single buyer) adalah suatu bentuk pasaran persaingan tidak sempurna apabila masing-masing hanya mempunyai satu penjual atau pembeli. Pasaran sebegini dianggap tidak kompetitif dan lebih terdedah kepada masalah  kecekapan, ketelusan dan pengurusan mampan.

Terdapat perdebatan panjang berkaitan usaha-usaha reformasi dalam meliberalisasikan pasaran tenaga elektrik bagi kepentingan awam. Di samping itu TNB juga ditubuhkan dengan fungsi kebajikan untuk melindungi dan menjamin ketersediaan tenaga untuk rakyat.

Insiden ‘California Energy  Crisis’ sekitar tahun 2000 hingga 2001  yang berpunca daripada manipulasi pasaran dan lonjakan mengejut ‘Australian spot price’ melebihi $10,000 per megawatt jam pada Julai 2010, menyebabkan Kerajaan Malaysia mengambil satu langkah berwaspada dalam pelaksanaan reformasi struktur Malaysian Electricity Supply Industry (MESI).

Walau bagaimanapun pada 2012, inisiatif ‘jalan tengah’ dibuat melalui ‘Incentive Based Regulation’(IBR), diperkenalkan Managed Market Model (M3) melalui model baru ‘Integrated Single Buyer’ sebagai usaha meningkatkan ketelusan, kecekapan dan memastikan jaminan bekalan dan kestabilan harga bagi kepentingan nasional.

ZIKRULLAH ISMAIL
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 9/5/2022

- Advertisement -