Rumah terbuka ‘penyatuan ummah’ undang wakil rakyat Umno

- Advertisement -

KOTA BHARU: Rakyat Kelantan akan dirai seumpama VIP pada program Rumah Terbuka PAS Kelantan Khamis ini apabila kedatangan mereka disambut wakil-wakil rakyat.

Wakil-wakil rakyat akan bertindak sebagai penyambut tetamu bagi meraikan kedatangan rakyat kawasan mereka ke rumah terbuka tersebut.

Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan Wan Roslan Wan Hamat berkata, Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob, Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah dan anggota-angota Exco juga akan hadir.

- Advertisement -

“Wakil-wakil rakyat lebih mengenali rakyat masing-masing dan lebih mudah apabila mereka turut bertindak sebagai penyambut tetamu yang hadir,” katanya di sini.

Petang semalam Wan Roslan yang juga anggota Exco kerajaan negeri bersiaran secara langsung di Radio Manisfm bagi memaklumkan orang ramai mengenai program tersebut.

Hari Terbuka PAS Kelantan akan diadakan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV, Khamis ini bermula jam 11 pagi. Program tahunan itu dua tahun tidak didakan berikutan penularan wabak Covid-19.

Sempena program tersebut juga orang ramai yang hadir akan dihiburkan artis tempatan termasuk Fandi Kenali dengan persembahan lagu-lagu raya.

Selain itu pameran oleh 11 agensi kerajaan, kempen tukar minyak selinder motosikal dan tukar minyak masak terpakai dengan sos cili.

Wan Roslan juga berkata, sebanyak 30 kios disediakan pada program terbabit dikendalikan PAS kawasan bagi menyediakan juadah yang ditetapkan.

Juadah tersebut termasuk pelbagai menu nasi tempatan, nasi arab, gulai kawah, aneka minuman, lemang, ketupat, minuman, kuih-muih dan buah-buahan.

“Oleh itu saya bagi pihak PAS Kelantan menjemput semua rakyat Kelantan tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik hadir pada program terbabit Khamis ini,” ujarnya.

Kata beliau juga program rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri tersebut bertema Penyatuan Ummah turut mengundang wakil-wakil rakyat Umno dan Bersatu.

Penganjur turut menetapkan SOP bagi mengelakkan penularan semula wabak. – HARAKAHDAILY 10/5/2022

- Advertisement -