Kesabaran para ulamak menghadapi ujian

ULAMAK itu pewaris para Nabi. Bukan ulamak namanya jika tidak diuji. Rasulullah S.A.W bersabda:

Advertisement

أَشَدُّ النَّاسِ بَلاَءً الأَنْبِيَاءُ ، ثُمَّ الصَّالِحُونَ، ثُمَّ الأَمْثَلُ فَالأَمْثَلُ

“Manusia yang paling berat ujiannya adalah para Nabi, lalu orang-orang soleh dan seterusnya.” 

(Riwayat al-Nasa’ie (7440) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9776))

Begitu juga Baginda S.A.W bersabda:

يُبْتَلَى الرَّجُلُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ، فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صَلَابَةٌ زِيدَ فِي بَلَائِهِ

“Seseorang diuji sesuai dengan kadar keagamaannya. Apabila agamanya kuat, maka ujiannya akan ditambah.”

(Riwayat Ahmad (1481))

Sejarah menjadi bukti, bagaimana para ulamak yang ikhlas dan jujur terus diuji dengan dugaan demi dugaan. Namun mereka tidak pernah berputus asa. Tiada erti kata mengalah dalam kamus hidup mereka. Bertahan dengan tabah dan sabar dalam menghadapi ujian adalah sebahagian daripada makna kemenangan. Itulah yang tersirat di sebalik kita meraikan Idulfitri sebagai hari kemenangan.

Kita bukan menang daripada menghapuskan syaitan dan iblis, kerana syaitan dan iblis masih wujud. Bukan juga menang menewaskan musuh yang memerangi Islam, kerana musuh tetap kekal memerangi kita pada setiap sudut dan ruang. Tetapi kita berjaya bertahan, dengan kesabaran dalam menghadapi segala ujian yang mendatang. Demikianlah yang terkandung dalam ruh takbir hari raya yang kita laung-laungkan pada setiap ketibaan 1 Syawal.

Hal ini benar-benar berlaku kepada golongan Salafus Soleh terdahulu. Lihat sahaja apa yang berlaku kepada Imam Ahmad bin Hanbal, salah seorang imam tersohor dalam mazhab empat. Beliau diseksa dan dizalimi hanya kerana mempertahankan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mengatakan al-Quran itu bukan makhluk.

Abu Ghalib bin Mu’awiyah mengatakan, “Ahmad bin Hanbal dipukul dengan cambuk pada jalan Allah pada sepuluh hari terakhir Ramadan tahun 220 Hijriah, sehingga beliau termasuk dalam tingkatan para Siddiqin.”(Solah al-Ummah, 4/409)

Ketika Imam Ahmad dipenjarakan di Raqqah, beliau telah didatangi oleh para ulamak hadis. Mereka telah memperingatkan kepada Imam Ahmad mengenai hadis-hadis Taqiyyah (berpura-pura mengaku). Lalu Imam Ahmad menjawab, “Apa pendirian kamu mengenai hadis Khabbab, sesungguhnya umat sebelum kamu terdapat orang yang diseksa dengan gergaji, tetapi hal tersebut tidak memalingkannya daripada agamanya”. Lalu mereka berputus asa untuk memujuk Imam Ahmad agar akur dengan paksaan pemerintah. (Manaqib al-Imam Ahmad, 427)

Menurut Abdullah bin Ahmad, beliau sering mendengar bapanya mengatakan, “Semoga Allah merahmati Abu al-Haitham, semoga Allah mengampuni Abu al-Haitham”. Lalu aku bertanya beliau, “Siapakah Abu al-Haitham?” Imam Ahmad menjelaskan, Abu al-Haitham adalah tahanan penjara yang memperkenalkan dirinya sebagai pencuri tegar, perompak yang kejam, peminum arak dan penyamun jalanan, yang telah dicambuk sebanyak lapan belas ribu kali. Ketika Imam Ahmad dibawa keluar untuk dicambuk, beliau berkata, “Jika aku tetap cekal menghadapi semuanya demi mentaati syaitan untuk tujuan dunia, maka bersabarlah kamu dalam mentaati Allah demi agama wahai Ahmad!” (Manaqib al-Imam Ahmad, 450)

Kata-kata Abu al-Haitham itu dikatakan telah menjadi inspirasi kepada Imam Ahmad untuk cekal dan tabah dalam menghadapi ujian. Bayangkan! Jika seorang pelaku maksiat pun tabah mengharungi ujian, sedangkan perlakuan mereka itu batil. Apatah lagi seorang pejuang yang mempertahankan agama, ujian itu ibarat asam garam yang pasti dirasai. Di sisi Allah S.W.T, hanya sabar dan tabah menjadi penentu kejayaannya.

YB DATO’ USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 10/5/2022