Kedah usaha kurangkan beban terjejas bekalan air

- Advertisement -

AIR adalah keperluan utama semua jenis hidupan, termasuk manusia.

Saya memahami bahawa masalah yang dihadapi berkaitan bekalan air amat mengganggu kehidupan serta menjejaskan emosi sesiapa jua.

- Advertisement -

Masalah bekalan air juga boleh dimanipulasi bagi tujuan tertentu oleh pihak-pihak yang berkepentingan kerana ia mudah memancing emosi.

Masalah gangguan bekalan air di Negeri Kedah bukanlah isu baru dan ia telah berlarutan sejak bertahun-tahun lalu.

Ini kerana Loji Rawatan Air (LRA) dan sistem saluran paip yang digunakan sudah terlalu lama, sesetengahnya dibina pada zaman penjajah lagi.

Masalah semakin kritikal beberapa tahun kebelakangan disebabkan oleh pertambahan populasi, premis perumahan dan perniagaan serta industri yang bertambah berlipat kali ganda di seluruh Negeri Kedah.

Di pihak Kerajaan Negeri pelan menaik taraf sistem bekalan air terutama yang membabitkan lima LRA utama telah disusun sejak penubuhan Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) pada tahun 2010.

Usaha menaik taraf ini merangkumi pelan jangka pendek dan jangka panjang termasuk mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) bagi mengatasi masalah bekalan di seluruh negeri.

Apa yang mendukacitakan ialah apabila berlaku perubahan kerajaan, Kerajaan Negeri sebelum ini telah mengubah dasar yang telah menyebabkan pelan menaik taraf lima LRA berkenaan tertangguh.

Jika pelan dasar itu tidak diubah, usaha mengatasi masalah bekalan air di seluruh Kedah, Insya-Allah dapat dilaksanakan lebih awal dan berkemungkinan tidak berlarutan hingga ke hari ini.

Hanya setelah berlaku perubahan tampuk kepimpinan Kerajaan Negeri pada Mei 2020, barulah usaha untuk mengatasi masalah ini digerakkan semula.

Sejak itu, pelbagai langkah penyelesaian yang lebih konkrit serta komprehensif telah dilaksanakan mengikut prosedur dan nasihat daripada Kementerian Alam Sekitar & Sumber Air (KASA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Setelah lama tertangguh, pada pertengahan tahun 2021, projek menaik taraf lima LRA terbabit iaitu LRA Pelubang di (Kubang Pasu), LRA Lubuk Buntar Lama (Bandar Baharu), LRA Sungai Limau (Baling), LRA Jenun Baru (Pendang) dan LRA Bukit Selambau (Kuala Muda) dilaksanakan.

Kesemua projek ini dijangka siap dalam tempoh antara dua hingga tiga tahun lagi.

Kos bagi kesemua projek naik taraf ini mencecah RM931 juta.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah menyusun pelan pengurangan air tidak terhasil (NRW) termasuk pelan penggantian paip di seluruh Kedah yang keseluruhannya menelan kos hampir RM1 bilion.

Saya perlu memberikan penjelasan seperti ini bagi menangkis tohmahan pihak-pihak yang ingin mengambil kesempatan seolah-olah Kerajaan Negeri dan SADA tidak mengambil apa-apa tindakan untuk mengatasi masalah bekalan air di Negeri Kedah.

Selain pelan jangka panjang, SADA juga telah melaksanakan pelbagai usaha termasuk pelan kontingensi bagi menghadapi masalah gangguan bekalan air pada musim perayaan Aidilfitri baru-baru ini.

Ini termasuk menyediakan tiga buah lori tangki jumbo yang mampu memuatkan 10,000 gelen bekalan air, 71 buah lori tangki kecil dengan anggaran muatan sebanyak 800 hingga 1,200 gelen serta Pusat Khidmat Setempat (PKS) di 12 lokasi kritikal.

Selain itu, SADA juga menyediakan 280 buah tangki statik, khidmat talian hotline di Pusat Informasi SADA (SIC) untuk memproses aduan pada kadar segera, termasuk pada Hari Raya.

Pusat Aduan di Bilik Gerakan Ibu Pejabat SADA dan Bilik Gerakan Wilayah juga diaktifkan pada hari kemuncak perayaan.

Pelan kontingensi ini bertujuan untuk menggerakkan tindakan bagi setiap aduan yang diterima terus ke lokasi bermasalah.

Kerajaan Negeri dan SADA telah berusaha dengan sebaik mungkin untuk mengurangkan bebanan akibat keterjejasan bekalan air di seluruh Kedah.

Pihak SADA bukan sekadar memahami malahan kira-kira 1,400 kakitangan SADA selaku pemegang akaun SADA termasuk antara pelanggan yang menanggung akibat masalah gangguan bekalan air sama seperti pelanggan lain.

Saya memahami bahawa kenyataan bahawa meminta orang ramai bersabar mungkin dianggap retorik oleh sesetengah pihak namun itulah realiti bahawa usaha untuk menyelesaikan masalah yang berlaku akan mengambil masa dan Insya-Allah apabila projek menaik taraf lima LRA serta penggantian paip di seluruh negeri siap kelak, tiada lagi masalah gangguan bekalan air di negeri ini.

Bagi pihak Kerajaan Negeri dan SADA, saya memohon berbanyak-banyak maaf atas gangguan bekalan air yang sering berlaku di kawasan tertentu namun yakinlah bahawa usaha untuk mengatasi masalah ini sentiasa dilakukan, dan akan terus dilakukan.

Dengan keadaan yang sedia wujud sejak sekian lama, sesiapa juga pun yang memegang tampuk pentadbiran Kerajaan Negeri akan berhadapan dengan masalah yang sama hingga projek-projek menaik taraf LRA dan tindakan mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) yang sedang diusahakan siap sepenuhnya dalam beberapa tahun akan datang, Insya-Allah.

Sekian. Harap maklum dan terima kasih.

DATO’ SERI HAJI MUHAMMAD SANUSI MD. NOR 
Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 10/5/2022

- Advertisement -