Aidilfitri: Tiada peningkatan kes Covid-19 di Kelantan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Tiada sebarang peningkatan kes Covid-19 dicatatkan di Kelantan sepanjang dua minggu iaitu sebelum dan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin berkata, penjagaan prosedur operasi standard (SOP) serta kadar vaksinasi yang tinggi antara faktor dapat membantu mengawal penularan kes Covid-19.

- Advertisement -

Katanya, pada peringkat awal pihaknya menjangka berlaku peningkatan kes Covid-19 di Kelantan memandangkan ramai anak-anak perantau pulang berhari raya bersama keluarga.

“Namun alhamdulillah sehingga hari ini kes tidak meningkat. Walaupun kerajaan melonggarkan pemakaian pelitup, namun masih ramai rakyat Kelantan memakainya.

“Ia boleh mencegah berlaku jangkitan melalui pembawaan udara,” katanya kepada pemberita di pejabatnya pada majlis jamuan Hari Raya Aidilfitri bersama petugas media hari ini.

Dr Izani juga berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) memberi kesan positif kepada kes Covid-19, malah ia dapat mengelak kes serius dan berlaku kematian.

Malah katanya, kemasukan ke hospital di Kelantan sekarang tidak tinggi. – HARAKAHDAILY 10/5/2022

- Advertisement -