PAS tetap pertahan Piagam Muafakat Nasional

Oleh SAIDAH HAIRAN

KUALA LUMPUR:
Biarpun Presiden Umno Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi menganggap kerjasama Umno dan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) perlu dilupakan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, namun PAS masih mengharap penyatuan ummah.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Misbahul Munir Masduki berkata, PAS tetap konsisten dengan pendirian semua parti Melayu/Islam perlu duduk semeja bagi menghadapi PRU ke-15.

Kata beliau sekiranya PAS, Umno dan Bersatu boleh berada dalam satu pakatan, kemungkinan kemenangan besar mampu diraih pada PRU ke-15.

Advertisement

“Pemimpin yang berpandangan jauh mesti seorang yang berjiwa besar, jangan hanya pentingkan diri atau partinya sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini.

Semalam Ahmad Zahid dilapor memberitahu kerjasama Umno dan PAS melalui MN perlu dilupakan pada PRU-15.

Menurutnya Umno memberi ruang secukupnya kepada PAS untuk menyetujui perkara yang terkandung dalam Piagam MN, namun ia tidak dipersetujui.

Piagam yang ditandatangani pada 14 September 2019 antara lain menyebut membentuk kerjasama bagi mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kestabilan negara.

Bagaimanapun kesediaan Bersatu menyertai MN diketepikan pemimpin utama Umno biarpun usaha itu telah dipersetujui pada peringkat awal.

Misbah juga berkata, PAS tetap pertahan Piagam MN bagi mewujudkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk mengembangkan naratif Islam dan Melayu.

“Pemimpin Umno sepatutnya berterima kasih kepada Bersatu kerana sanggup keluar dari Pakatan Harapan (PH) sehingga tumbang kerajaan PH selepas 22 bulan berkuasa di Putrajaya.

“Tanpa pengorbanan Bersatu, kerajaan PH diyakini kekal sehingga sekarang. Sebaliknya selepas PH tumbang, ada pemimpin Umno yang membuat akaun bersumpah (SD) untuk mengangkat Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri,” ujarnya.

Oleh itu katanya kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ‘Memperkasakan MN dan Memperkuat Perikatan Nasional (PN)’ adalah langkah terbaik bagi menghadapi PRU-15,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/5/2022