Era PN Pertubuhan Peladang lebih bebas

- Advertisement -

APABILA disebut Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) tentunya ramai sedia maklum siapa ahlinya. Sebelum ini rata-ratanya ada hubung kait dengan parti politik tertentu. PPK menjadi gelanggang untuk menguatkan pengaruh pemimpin politik. Ekoran itu ramai berharap di era Pakatan Harapan (PH) dominasi orang politik berakhir. Sebaliknya kecamuk politik lebih hebat. Menteri diberi kuasa melantik ahli jemaah pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan PPK. Hanya di era kerajaan Perikatan Nasional (PN) NAFAS, PPN dan PPK tidak lagi dijadikan gelanggang pemimpin politik. Kerajaan PN mengubah semula peraturan digubal kerajaan PH, bagi mengembalikan pemilihan ahli jemaah pengarah ditentukan ahli dan bukan lagi kuasa menteri. Oleh itu bagi mengikuti perkembangan Pertubuhan Peladang ikuti temubual LANJUSOH dan MUHAMMAD ARIF ISMAIL bersama Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang, DATO’ CHE ABDULLAH MAT NAWI ketika ditemui baru-baru ini.

- Advertisement -

HARAKAHDAILY: Sebelum ini khabarnya PPK pernah jadi gelanggang politik. Sejauh realitinya?

DATO’ CHE ABDULLAH: Ia tidak dinafikan berlaku. Malah ketika era PH lagi berat di mana menteri ada kuasa melantik ahli jemaah pengarah. Mereka buat lantikan bermesej politik. Perkembangan yang berlaku itu paling berat berbanding era sebelum 2018.

Sepatutnya pelantikan dibuat melalui mesyuarat agung peringkat PPK. PPK ada sembilan ahli jemaah pengarah. Ketika era PH mereka lantik dengan memasukkan pemimpin parti dalam jemaah lembaga. Bagaimanapun sekarang sudah balik semula pelantikan dibuat melalui pemilihan.

LPP atau PPK sebelum ini 2018 dalam konteks Kelantan biasanya orang luar nampaknya hanya dikuasai parti politik tertentu, benarkah begitu?

Situasi begitu tidak dapat dinafikan berlaku. Malah kita juga dengar pemilihan ahli jemaah pengarah PPK dikuasai kelompok politik tertentu. Cuma kita bimbang kalau kuat politiking ia boleh menjejaskan dari segi prestasi perniagaan PPK itu sendiri. Namun, sekarang di era kerajaan PN dari segi tekanan politik pun setakat ini belum nampak lagi. Tekanan daripada menteri ke bawah tidak ada. Cuma politikal hanya kedengaran di peringkat bawah, tidak dari atas. Ini bermakna daripada atas nak buat apa so far politic move itu tiada lagi. Bukan setakat tidak tekan, maknanya lebih bebas sekarang. Malah kita berharap supaya tidak melibatkan tekanan politik. Ini membolehkan PPK dapat benar-benar berfungsi sebagai sebuah pertubuhan peladang yang dimiliki oleh semua ahli peladang di unit peladang tanpa mengira fahaman politik.

PPK dari segi pengurusan tidak ditekan dan dapat melaksanakan tugas yang terbaik untuk kemajauan PPK itu sendiri bagi membantu ahli dan meningkatkan produktiviti mereka. Era sekarang pertubuhan peladang kelihatan lebih liberal.

Sebelum ini Dato’ bertugas sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, namun sekarang pula dipertanggungjawab sebagai Pengerusi LPP, mungkin ada perubahan ketara dari segi gerak kerja?

Sudah tentulah ada perubahan. Di LPP skopnya lebih kecil. Sebagai timbalan menteri sebelum ini bidang tugasnya mencakupi semua sektor termasuk perikanan dan pertanian. Namun sekarang sebagai Pengerusi LPP tumpuan hanya kepada Pertubuhan-Pertubuhan Peladang Negeri, PPK dan NAFAS.

Mungkin ramai masih keliru apa peranan LPP?

LPP berperanan sebagai pendaftar kepada pertubuhan peladang yang terdapat di seluruh negara. Kita mengambil tangungjawab aspek pengurusan dan pembangunan. Jadi kerja-kerja tersebut tertumpu kepada membantu pertubuhan-pertubuhan peladang mencapai tujuan dan objektif bagi memajukan pertubuhan peladang dan sebagainya.

Maknanya LPP memastikan pertubuhan peladang tidak mati?

LPP memain peranan memperkasakan pertubuhan peladang yang ada. Dan dalam masa sama melahirkan peladang di bawah Unit Pertubuhan Peladang yang produktif. Ahli di unit-unit peladang terbabit terdiri daripada ahli yang merupakan peladang, petani dan penternak. Tugas LPP mengurus supaya pertubuhan peladang dapat melahirkan ahli yang benar-benar produktif dan yang berjaya mengeluarkan makanan untuk keperluan rakyat. LPP juga menyediakan latihan dan membantu menyediakan keperluan asas dan pendedahan mengenai ilmu pertanian.

LPP sebagai pendaftar bertindak mendaftar pertubuhan peladang baik pertubuhan peladang kawasan, negeri atau kebangsaan. LPP juga bertanggungjawab terhadap pengurusan pertubuhan peladang kecuali di Sarawak serta peladang di bawah kendalian MADA dan KADA. PPK di bawah agensi terbabit diurus oleh badan berkenaan dan bukan LPP.

Sekarang terdapat berapa Pertubuhan Peladang di bawah LPP?

Sekarang terdapat 279 PPK yang direct di bawah LPP. Selain itu kita juga ada 14 Pertubuhan Peladang Negeri dan satu Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

Adakah jumlah 279 PPK meningkat atau statik?

PPK boleh meningkat kalau ada pendaftaran baru. PPK juga boleh menurun kalau ada PPK yang gagal memenuhi syarat ditetapkan dan menyalahi akta dan sebagainya. LPP diberi kuasa untuk membubarkan PPK yang bermasalah.

LPP kelihatan peranan seperti Pejabat Pendaftar Pertubuhan (RoS)?

Ya, LPP mengambilalih tanggungjawab RoS untuk mendaftarkan pertubuhan peladang. Pertubuhan peladang tidak perlu daftar dengan RoS, mereka kena daftar dengan LPP. Ketua Pengarah LPP bertindak sebagai pendaftar.

Setakat ini belum kedengaran ada PPK yang bermasalah untuk membuat pendaftaran?

So far alhamdulillah. Tidak berlaku seperti pendataran parti-parti politik.

Dalam kalangan PPK sekarang ada yang sudah dianggap berjaya?

Sebenarnya ada beberapa kategori dalam PPK. Ada beberapa PPK mencapai keuntungan dalam jumlah volume business. Jadi dia dikategorikan mengikut volume business kategori A, B dan C.

Mungkin ada top PPK setakat ini?

PPK yang berjaya kebanyakannya terdapat di Johor, Perak dan Selangor. Kebanyakan mereka ada ladang sawit. PPK paling berjaya ialah PPK Kuala Langat. PPK itu mempunyai pusat pengumpulan cili. PPK tersebut menjadi tempat pengumpulan sayur-sayuran yang boleh bersaing dengan supermarket. Orang pergi membeli di situ berbanding supermarket kerana harganya lebih murah. PPK boleh mengimbangi harga berbanding dengan supermarket. – HARAKAHDAILY 9/5/2022

- Advertisement -