Riwayat dan wasiat terakhir Cikgu Mat Albatnani

- Advertisement -

DALAM banyak-banyak kejutan raya, paling mengejutkan adalah pemergian seorang tokoh pejuang penting di Kuala Nerus; Cikgu Mat (Mohamed Hussin). Meninggal pada hari Jumaat pertama selepas sempurnanya Ramadan.

Tambah mengejutkan, beliau meninggal sejurus solat Rawatib selepas solat Jumaat. Sebaik selesai menyempurnakan kewajipan utama bagi lelaki di hari penghulu segala hari itu.

Juga mengejutkan, beliau menghela nafas terakhirnya di masjid yang sangat terkenal bagi pejuang di Kuala Nerus; Masjid Batu Enam. Jemaah lelaki pertama yang meninggal di dalam Masjid Batu Enam sepanjang sejarah.

Lebih mengejutkan, kebetulan yang solat bersama adalah YB Dr Alias Razak. Beliau jarang solat Jumaat di Masjid Batu Enam sejak pandemik melanda. Tapi hari itu Allah gerakkan hati beliau untuk solat di sana.

Memandangkan beliau seorang sahaja doktor yang dikenali di masjid itu, beliaulah yang dipanggil untuk berada di sisi Cikgu Mat dari beliau rebah usai salam akhir solat hinggalah ke hembusan nafas terakhir.

Namanya mungkin tak masyhur di peringkat nasional, tetapi bagi ahli PAS di Kuala Nerus, mustahil tak pernah melihat kelibat ini. Rumahnya bersebelahan Kompleks Tarbiah At-Taqwa (KOMTAQ). Beliau juga pemegang kunci Masjid at-Taqwa, Batu Enam.

Terlalu banyak kebaikan yang boleh dikongsi berkenaan peribadi beliau. Kalau bab amal fardi, boleh katakan setiap 5 waktu beliau menjadi jemaah tetap masjid.

Kalau bab amal ijtimaie, beliau pemegang kunci masjid. Orang pertama datang masjid, orang terakhir keluar masjid. Tukang bersih masjid sukarela, sampaikan jalan tepi masjid pun dibersihkan supaya debu jalan tak masuk masjid.

Juga cakna kebajikan masyarakat. Lambat dengar orang sakit, pasti diziarahinya selagi kudrat bersisa. Kecaknaannya sampai masalah suami-isteri pun diikhtiar supaya berbaik.

Bab amal jamaie lagilah banyak. Istiqamah dari muda dengan PAS. Kaki usrah dan program sampai ke tua. Selalu capai mikrofon bila ada sesi soal jawab bersama pimpinan. Tulang belakang PAS Bukit Tunggal dan Kuala Nerus bersama beberapa generasi veteran yang lain.

Beliau tak pernah menganggap status orang lama sebagai penghalang untuk beliau bersama dengan orang muda. Seringkali beliau terlibat dengan program pemuda secara sukarela.

Kali terakhir yang saya ingat adalah Liqa’ Fikr Pemuda PAS Kuala Nerus. Waktu itu sedang hangat isu pengguguran YB Kuala Nerus dari ahli Majlis Syura. Cikgu Mat tak lepaskan peluang duduk bersama pemuda mengikuti pencerahan fikrah dari YB Ustaz Saiful Bahri.

“Buah yang buruk tak payah dijolok. Nanti dia gugur sendirilah.” jawab YB Ustaz Satipul Bahri terhadap perlian YB Kuala Nerus terhadap Presiden PAS di mukabuku.

Usai Liqa’, Cikgu Mat beritahu bahawa dia ada jumpa Takiri lepas digugurkan itu. Antara apa yang disebut oleh Takiri sendiri diriwayatkan oleh Cikgu Mat:

“Ana dah tak sehaluan dengan Presiden.”

Kalam ini mungkin mengejutkan. Tapi bagi kami di Kuala Nerus, sebenarnya dah ramai yang dengar sendiri dari mulut YB Kuala Nerus benda serupa, bahkan lebih dahsyat lagi. Analogi pemandu bas terhuyung-hayang masih mengguris perasaan kami.

Kali ini biarlah saya riwayatkan secara terbuka. Kerana inilah mungkin memori besar wasiat terakhir saya bersama Cikgu Mat.

Sebelum menghembus nafas terakhir, Cikgu Mat sempat meninggalkan wasiat paling berharga kepada salah seorang anaknya:

“Ja (Jundullah Batunan), ajor anok-anok bab berjemaah, bab politik dari kecik lagi. Biar dia faham dari kecik lagi.”

Cikgu Mat mungkin bukan murabbi ummah. Tapi dialah murabbi keluarga sejati. Meninggalkan sembilan orang anak termasuk anak angkat susuan yang terlibat dengan perjuangan Islam di setiap lapisan. Kebanyakan adalah anggota Jabatan Amal Malaysia dan Ameerah Malaysia.

Aku bersaksi Ya Allah, hambamu bergelar Cikgu Mat adalah insan yang telah menyempurnakan segala kewajipannya sebagai hambaMu; baik amal fardi, ijtimaie mahupun jamaie.

Kerana itu aku sungguh cemburu Kau tarik nyawanya sejurus dia selesai kewajipan fardi solat Jumaat.

Aku juga cemburu Kau tarik nyawanya ketika dia masih menjalan kewajipan ijtimaie sebagai pemegang kunci Masjid Batu Enam.

Aku paling cemburu Kau tarik nyawa Cikgu Mat ketika dia masih teguh sebagai ahli PAS. Meninggal semasa masih menggalas amanah sebagai Bendahari Lajnah Kebajikan PAS Kuala Nerus.

Syahid sebagai AJK Lajnah As-Sabiqun. Selama 76 tahun hidup penuh istiqamah, tidak pernah mengkhianati baiah perjuangan Islam.

Aku cemburu, kerana aku belum tentu Kau muliakan sepertinya.

Apa lagi hujah yang ada untuk menafikan husnul khatimahnya?

Walau penduduk bumi kurang mengenalinya, tapi pasti dia sangat masyhur di kalangan penduduk langit.

Allahumma, muliakan hidup dan matiku dengan mengikut jejak langkahnya.

Takziah kepada seluruh keluarga Cikgu Mat.

اللهم اغفر له وارحمه وعافه واعف عنه

ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 8/5/2022

- Advertisement -
- Advertisement -