Bekerja di luar negara, berpegang kepada ajaran Islam

Foto daripada Facebook Idris Ahmad.
- Advertisement -

ABU DHABI: Rakyat Malaysia beragama Islam yang sedang bekerja di luar negara diseru supaya sentiasa mengamalkan sikap amanah dan berpegang kepada ajaran Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata amalan itu akan memberi manfaat seimbang, antara tuntutan dunia dan akhirat.

- Advertisement -

“Mencari rezeki di luar negara adalah satu nikmat yang sudah tertulis oleh Allah SWT dan sewajarnya dilaksanakan dengan penuh beramanah, kerana rezeki datangnya daripada-Nya,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam bersama rakyat Malaysia di Emiriah Arab Bersatu (UAE) di sini, semalam.

Idris juga mengingatkan mereka, agar tidak lupa menyumbang ilmu dan kepakaran kepada negara sekiranya berpeluang berkhidmat di tanah air.

Menurut kedutaan Malaysia di UAE, setakat 2022 terdapat 6,000 rakyat Malaysia yang bekerja dan menjalankan perniagaan di negara itu.

Idris dalam rangka lawatan kerja selama lima hari ke UAE, bagi mewakili Malaysia pada persidangan Majlis Komuniti Islam Dunia yang berlangsung dua hari bermula hari ini.

Bertemakan Perpaduan Islam: Konsep, Peluang dan Cabaran, persidangan itu menghimpunkan tokoh Islam sedunia yang akan dirasmikan oleh Menteri Toleransi dan Kebersamaan UAE, Sheikh Nahyan bin Mubarak Al Nahyan. – BERNAMA

- Advertisement -