KOTA BHARU: Kehadiran luar biasa anak-anak perantau pada majlis Mesra Aidilfitri anjuran kerajaan negeri malam tadi menggambarkan sokongan penuh mereka terhadap kerajaan pimpinan ulama.
Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata kehadiran anak-anak perantau agak luar biasa selepas program serupa dua tahun tidak dapat diadakan akibat penularan Covid1-19.
“Saya menzahirkan rasa terima kasih atas kehadiran begitu ramai dan berharap semoga perantau sentiasa menyokong usaha Kerajaan Negeri Kelantan untuk terus melangkah Membangun Bersama Islam (MBI),” katanya pada program tersebut di Dewan Besar Balai Islam Lundang.
Hadir sama Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota Exco, wakil-wakil rakyat dan pegawai kanan kerajaan negeri.
Program Mesra Aidilfitri bersama pimpinan kerajaan dua tahun tidak dapat diadakan akibat pandemik. Program tersebut dianjurkan Urusetia Penerangan dan Komunikasi Kerajaan Negeri dengan kerjasama Persatuan Perantau Malaysia Kelantan (Perakan).
Ahmad juga berkata, kerajaan Kelantan sentiasa berbincang dengan kerajaan-kerajaan negeri lain kerana membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Kelantan mencari rezeki.
“Saya juga merakam ucapan tahniah dan berterima kasih kepada perantau yang turut bersama kerajaan negeri membantu mangsa-mangsa banjir di Lembah Klang pada akhir tahun lepas,” ujarnya.
Sempena program tersebut seorang pelajar Universiti Malaya, Nurul Hami Mohamed Din, 21, dari Kota Bharu mendapat hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah motosikal. – HARAKAHDAILY 5/5/2022
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!