Mana suara si Profesor dan pemimpin PAN?

Susulan bekalan air terjejas di banyak kawasan sebelum dan semasa Aidil Fitri di negeri Selangor

- Advertisement -

DUA hari menjelang Aidil Fitri, seorang Profesor menyuarakan kekesalan kerana topik mengenai air, sampah dan jalan akan menjadi isu utama di Kelantan setiap kali hari raya. Kali ini, hingga beliau mengajukan gesaan supaya Kerajaan Negeri Kelantan yang diterajui PAS ditukar.

Seorang pemimpin PAN pula dari kejadian kebakaran di Berek 12, Kota Bharu mendakwa berlaku kekurangan bekalan air untuk kegunaan pihak bomba. Beliau mengajukan desakan untuk satu Suruhanjaya Siasatan diadakan kerana mendakwa unsur penyelewengan dalam syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Namun, sejak seminggu lalu, tidak berlaku masalah besar pada perkhidmatan bekalan air dilaporkan di negeri ini. Ternyata, jangkaan Profesor tersebut meleset kali ini. Begitu juga dakwaan pemimpin PAN itu juga ternyata tidak benar.

Ironinya, hari sama mereka menggegarkan perhatian umum kepada isu tersebut, seluruh media melaporkan 463 kawasan di Selangor terjejas bekalan air kerana pencemaran yang memaksa Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dihenti tugas.

Manakala pada hari kedua Aidil Fitri (Selasa), sekali lagi dikesan pencemaran menyebabkan 472 kawasan terjejas yang juga melibatkan operasi LRA Sungai Semenyih. Kalau dihitung, rasanya masalah bekalan air terjejas lebih kerap dan buruk di Selangor mutakhir ini.

Benar, Kelantan ada masalah bekalan air, tetapi menyusuri secara adil sebabnya, ia tidak dapat ditolak senarai puncanya. Setelah berlalunya diskriminasi Kerajaan Pusat terhadap Kelantan, usaha membangunkan infrastruktur perkhidmatan bekalan air giat dijalankan di negeri ini.

Dalam memberi perkhidmatan setelah ‘ketinggalan zaman’ sebegitu lama, semangat pembangunan infrastruktur itu juga seiring dengan inisiatif dan kontigensi bekalan disediakan untuk pengguna. Ia komitmen yang wajar dilihat mempunyai pencapaian dan meluputkan setiap masalah.

Tetapi perkhidmatan bekalan air di Selangor tiada lagi isu besar infrastruktur selepas Projek Langat 2 dahulu. Masalah berulang yang kerap terjadi beberapa tahun kebelakangan ini adalah berpunca daripada pencemaran. Ia berlaku daripada kegiatan pembuangan sisa industri oleh kilang haram ke sungai.

Ia isu kegagalan pematuhan serta penguatkuasaan undang-undang. Tetapi entah bila tindakan akan diambil terhadap kilang-kilang terbabit atau usaha mencegah dari kejadian sama berulang. Ketika sama, jutaan ringgit dihabiskan membeli dron untuk membuat pemantauan.

Persoalannya, di mana suara Profesor tersebut untuk isu yang pernah mengundang murka istana ini diajukan gesaan serupa agar Kerajaan Negeri Selangor juga ditukar? Mana juga suara pemimpin PAN untuk kerajaan negeri yang dimandatkan rakyat kepada parti itu bersama PKR dan DAP juga menubuhkan Suruhanjaya Siasatan?

Ya, kalian berhak bercakap dan bebas memberi pandangan, tetapi semua pihak sedang memerhati mengenai keadilannya.

ANAS KARIMI AHMAD THANI
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 5/5/2022

- Advertisement -
- Advertisement -