Dedikasi petugas AKSB berselut di Aidil Fitri

- Advertisement -

SETAKAT saya menulis perihal kerja-kerja syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dalam beberapa siri, saya kenal pasti beberapa soalan popular. Antaranya:

“Baru nak buat ke? Selama ni duk buat apa?”

“Hei AKSB, ore bising baru reti buat”

“Oloh la duk bekki pah ceroh, bekki sajo, air takdok pun”

“Update buat apa kerja kau di fb, dah memang kerja kau”

Ok baik. Saya jawab ringkas juga. AKSB bukan ‘baru nak buat’ atau bukan buat ‘sebab orang bising’. Kerja-kerja pembaikian, selenggaraan, pemasangan dan apa juga kerja adalah dilakukan hari hari, cuma mereka jarang paparkan aktiviti berkenaan di media sosial.

Yang banyak mereka ‘update‘ di ‘page‘ mereka adalah notis gangguan, notis gangguan dan notis gangguan.

Perkara ni AKSB kena baiki. ‘Update‘ dan ‘warning‘ oleh pengguna pasal kemungkinan ada masalah air di situ dan di sini adalah bagus, tetapi kerja-kerja pembaikian dan selenggara pun ‘wajib’ dikemaskini maklumannya. Barulah pengguna tahu, bahawa permasalahan air mereka sedang diuruskan oleh AKSB.

Orang AKSB jangan marah saya tulis macam tu ya. Ia kebaikan untuk kita semua khasnya pengguna.

- Advertisement -

Yang kedua, apabila kita tunjuk petugas AKSB sedang buat kerja, mereka pun cakap “baiki sokmo tapi air takdok pun”. Kita kadang-kadang naik pening, tak ‘update‘ kerja-kerja, mereka duk kata AKSB tidur. Kalau ‘update’ pulak dia kata “meme kijo mung”, “baiki gapo air takdok” dan lain-lain kecaman.

Selalunya yang hentam teruk-teruk ni, bila kita siasat, tak duduk di Kelantan pun, mereka tak ada masalah air di Kelantan pun, mereka ‘just pure haters’. Kita tetap raikan mereka. Layan je dalam komen tu.

Yang lain-lain pula, bila mengadu ada masalah air di kawasannya (genuine case), kita minta ‘details‘ (lokasi dan nombor telefon). Insya-Allah akan diselesaikan dalam masa segera oleh AKSB.

Pada tulisan ini disertakan gambar petugas AKSB berkubang selut baiki ‘main line’ paip 6 inci untuk Taman PPR Lubuk Jong hari Isnin lalu. Berkubang dalam selut pada hari raya pertama Aidil Fitri.

Walaupun akan ada yang cakap “dah kerja kau, raya pun nasib lah”. Tapi saya nak cakap, mereka bekerja ikhlas, cari rezeki yang halal untuk anak-anak di rumah yang sedang beraya. Si ayah berkubang selut untuk rakyat, anak beraya sendiri.

Jadi, lebih baik kita jangan menulis komen-komen yang tiada manfaat. Ini nasihat.

Apapun, kerja pembaikian selama dua jam pada 1 Syawal lalu dapat mengembalikan bekalan air ke PPR Lubok Jong. Tangki simpanan PPR stabil dan air terus masuk tanpa tergendala.

Terima kasih tuan-tuan para petugas AKSB yang mulia. Khidmat ikhlas di hari raya.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 5/5/2022

- Advertisement -