Covid-19: China gesa penduduk Beijing bekerja dari rumah

Stesen kereta api bawah tanah di Beijing ditutup untuk mengekang penularan Covid-19
- Advertisement -

BEIJING: Berjuta-juta penduduk ibu negara China, kembali bekerja hari ini dengan berpuluh-puluh stesen kereta api bawah tanah ditutup selepas cuti panjang sempena Hari Pekerja yang senyap sunyi berikutan pelbagai sekatan bagi mengekang penularan Covid-19.

Pihak berkuasa meneruskan dasar sifar Covid-19 membabitkan perintah berkurung dan ujian pengesanan besar-besaran dalam usaha memerangi wabak ini dengan seluruh kawasan kejiranan ditutup.

- Advertisement -

Beijing melaporkan 50 kes virus tempatan pada hari ini, sehari selepas pihak berkuasa meminta penduduk daerah paling padat, Chaoyang, supaya bekerja dari rumah.

Bagi penduduk di kawasan yang mempunyai kira-kira 3.5 juta orang, yang terpaksa pergi ke pejabat digalakkan memandu sendiri dan mengelakkan menghadiri perhimpunan.

Daerah Tongzhou juga menggalakkan penduduk bekerja dari rumah, manakala berpuluh-puluh stesen kereta api bawah tanah di seluruh bandar masih ditutup.

Beberapa pekerja dilihat kembali ke bangunan pejabat pada hari ini di Chaoyang, mengimbas kod kesihatan bagi membolehkan memasuki bangunan.

Beijing bertindak secara berhati-hati selepas penutupan berpanjangan di Shanghai, bandar terbesar di China, menyebabkan kekurangan makanan dan kemarahan orang ramai.

Shanghai, pusat wabak terbaru melaporkan lebih 4,600 kes dengan kebanyakan jangkitan tanpa gejala pada hari ini.

Antara tindakan pihak berkuasa selepas cuti Hari Pekerja yang berlangsung dalam keadaan tenang ialah melarang penduduk makan di restoran dan menutup gimnasium.

Mengikut data rasmi, pendapatan pelancongan domestik sepanjang tempoh cuti lima hari menurun lebih 40 peratus berbanding tahun lalu.

Setakat 3 Mei lalu, lebih 40 bandar di China melaksanakan sekatan penuh atau separa serta menyekat pergerakan. Bandar-bandar utama seperti Hangzhou dan Beijing juga mengarahkan lebih banyak ujian pengesanan Covid-19 secara tetap.

Beberapa sekatan telah dilonggarkan dengan Beijing mengumumkan semalam bahawa pelancong antarabangsa boleh dibebaskan daripada kuarantin selepas 10 hari di kemudahan berpusat dan seminggu pengasingan di rumah, penurunan berbanding sebelum ini selama 21 hari.

Jurucakap kerajaan, Xu Hejian, berkata ini berdasarkan ciri varian virus Omicron yang menunjukkan tempoh inkubasi lebih pendek dan gejala lebih ringan.

Selain itu, kontak rapat kes yang disahkan akan menjalani kuarantin berpusat lebih pendek. – AFP

- Advertisement -