Amerika Syarikat jamin keselamatan Sweden jika mohon sertai NATO

Ibu pejabat NATO di Brussels, Belgium.
- Advertisement -

STOCKHOLM: Sweden menerima jaminan Amerika Syarikat (AS) yang akan mermberi sokongan sepanjang tempoh permohonan untuk menyertai NATO yang diproses oleh 30 negara dalam perikatan itu, kata Menteri Luar Sweden, Ann Linde.

Sweden dan negara jiran, Finland, tidak menyertai NATO ketika Perang Dingin. Namun, tindakan Rusia merampas Crimea pada 2014 dan pencerobohan ke atas Ukraine menyebabkan negara itu mengkaji semula dasar keselamatan dengan kemungkinan menyertai NATO kelihatan semakin besar.

- Advertisement -

Namun, kedua-dua negara bimbang keselamatan akan terancam sepanjang proses permohonan yang boleh mengambil masa sehingga setahun untuk diluluskan oleh semua anggota NATO.

“Saya tidak akan menjelaskan secara terperinci, tetapi sangat yakin bahawa sekarang kami mempunyai jaminan AS,” kata Linde kepada TV Sweden dari Washington selepas bertemu Setiausaha Negara AS, Antony Blinken.

“Bagaimanapun, ini bukan jaminan keselamatan konkrit yang anda hanya boleh dapat jika bertaraf ahli penuh NATO,” katanya yang enggan menyatakan jaminan yang diterima daripada Blinken.

“Mereka (AS) bermaksud dengan jelas bahawa jika Rusia melakukan apa-apa aktiviti negatif terhadap Sweden, yang mereka (Sweden) telah diancam, ia bukan sesuatu yang AS akan biarkan berlaku… tanpa tindak balas,” kata Linde.

Kenyataan Jabatan Negara AS selepas mesyuarat itu menyatakan bahawa Blinken telah mengesahkan komitmen Washington terhadap dasar NATO yang mengalu-alukan anggota baharu, tetapi tidak menyebut tentang jaminan keselamatan.

Bulan lalu, Menteri Pertahanan Sweden berkata, permohonan menyertai NATO boleh mencetuskan tindak balas Rusia, termasuk serangan siber dan langkah hibrid seperti kempen propaganda untuk menjejaskan keselamatan Sweden.

Moscow memberi amaran akan menggunakan senjata nuklear dan peluru berpandu hipersonik di kawasan Kaliningrad Eropah jika Sweden dan Finland menjadi anggota NATO.

Linde, yang kemudian pergi ke Kanada untuk membincangkan isu keselamatan berkata, AS sangat menyokong keahlian Sweden dan Finland dalam NATO, yang dikatakan akan meningkatkan kestabilan di wilayah Baltik dan Artik.

Sweden dan Finland dijangka membuat keputusan sama ada untuk memohon menyertai NATO, bulan ini. – REUTERS

- Advertisement -