KOTA BHARU: Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) di Bandar Baharu Tunjong diserbu orang ramai pagi ini sehingga berlaku kesesakan luar biasa.
Laluan utama ke RTC dari simpang 4 Tunjong sesak teruk sehingga kenderaan berderetan hampir 1 km. Malah ramai terpaksa berpatah balik kerana kenderaan yang mahu memasuki RTC dari arah Pasir Mas dan Kota Bharu sendat di pintu masuk.
Bagaimana keadaan di Pasar Wakaf Che Yeh dan Pasar Besar Siti Khatijah agak terkawal biarpun turut dilimpahi orang ramai.
Lokasi di Pasar Che Yeh kelihatan masih belum terurus memandangkan masih banyak khemah tapak pasar malam di situ bergantungan sehingga menyukar kenderaan yang mahu memasuki ruang parkir di sebelah pasar.
Keadaan itu berlaku memandang petugas bahagian kebersihan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) tidak bertugas awal pagi tadi kerana Kelantan masih bercuti hari ini selepas diberi cuti peristiwa oleh kerajaan negeri.
Orang ramai menyerbu ketiga tiga pasar terbabit bagi membeli keperluan harian termasuk menyediakan juadah hari raya bagi meraikan sanak saudara dan tetamu yang bertandang sempena Aidilfitri.
Di Pasar Siti Khatijah dan Wakaf Che Yeh penjual laksa dan laksam tidak menang tangan apabila dikunjungi orang ramai.
Malah ada gerai menjual laksa di Pasar Siti Khatijah pelanggan terpaksa beratur panjang sehingga mengambil masa lebih setengah jam. Malah pada jam 10 pagi setiap pembeli hanya dibenarkan membeli maksimum 2 kg sahaja.
Begitu juga gerai yang menjual nasi berlauk pembeli juga kelihatan terpaksa beratur agak panjang. Gerai menjual ketupat dam kuih muih juga menjadi tumpuan ramai.
Kepulangan perantau sempena hari raya menyebabkan ketiga tiga pasar terbabit sesak sejak awal pagi. Cuaca di Kota Bharu juga redup pagi ini, dengan hujan renyai-renyai.
Sementara itu, kebanyakan laluan di Kelantan begitu sesak sejak 1 Syawal. Pada Isnin kenderaan yang menghala dari Gua Musang ke Kota Bharu masih bertali arus. Kesesakan begitu ketara berhampiran persimpangan lampu isyarat.
Malah semalam, laluan dari Machang ke Tanah Merah sesak teruk di jambatan Kusial sebelum memasuki Bandar Baharu Kota Harmoni. Begitu juga di laluan Kuala Krai ke Machang kenderaan bertali arus dengan aliran trafik agak perlahan.
Perjalanan dari Kuala Krai ke Pasir Mas masa hampir tiga jam berbanding sejam setengah bukan di musim perayaan. – HARAKAHDAILY 4/5/2022