Istiqamah tanda amalan diterima

- Advertisement -

JANGANLAH kita menjadi penyembah Ramadan, kerana Allah SWT jua yang menjadikan Ramadan dan bulan-bulan yang lain.

Nabi ﷺ bersabda yang bermaksud, “Jika Allah menghendaki kebaikan kepada seorang hamba, maka Allah akan menggunakan hamba tersebut. Para Sahabat bertanya, bagaimana Allah akan menggunakannya? Nabi menjawab, Allah akan memberikan taufiq kepadanya, membuka pintu untuknya melakukan amal soleh kemudian Allah mengambil nyawanya dalam keadaan dia terus menerus melakukan amal tersebut.”

Selepas sebulan berjuang menahan nafsu dan beramal ibadah, maka seharusnya kita kekal istiqamah selepas Ramadan, kerana antara tanda penerimaan amalan adalah penerusan amalan tersebut.

Berkata Ali Bin Abi Talib, “Jadikanlah penerimaan amalan itu lebih penting berbanding amalan, tidakkah kamu mendengar firman Allah SWT di dalam Al-Quran, Hanyasanya Allah menerima amalan daripada orang-orang yang bertakwa. Para salafussoleh, apabila selesai melakukan amalan kebaikan dan ketaatan, mereka akan risaukan pula penerimaan amalan tersebut, apakah diterima atau tidak.”

Istiqamah itu tanda rahmat dan lindungan Allah kepada seseorang hamba yang dicintai oleh-Nya. Mereka inilah golongan yang akan dibantu oleh para malaikat agar tidak takut dan tidak bersedih, serta digembirakan dengan janji syurga daripada-Nya.

Seburuk-buruk kaum adalah mereka yang hanya mengenal Allah dalam bulan Ramadan dan melupakannya pada bulan yang lain.

Bermaaf-maafan tanda keimanan

Dalam peristiwa besar Ramadan iaitu pembukaan Kota Makkah pada tahun ke-8 hijrah, Nabi ﷺ  memberi kemaafan kepada mereka yang memusuhinya dan menentang perjuangan Baginda selama ini di Makkah.

Sama-samalah kita memperelokkan semula hubungan kita dengan kaum keluarga, dan juga jiran tetangga. Elok bahasa kan bakal hidup, elok budi kan bakal mati. Hidup tak selalunya indah, tapi yang indah itu akan terus hidup dikenang. Sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula hubungan persaudaraan.

Disebut dalam sebuah hadis bahawa keampunan Allah itu tertangguh sehinggalah dua orang yang bermusuh itu berdamai. Maka dengan itu, jadilah orang yang terbaik dalam kalangan mereka yang bermusuh iaitu orang yang pertama memberi salam dan mendoakan kesejahteraan kepada orang yang bermusuh dengannya.

Jika mahu diri diampunkan oleh Allah, maka maafkanlah orang lain.

Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua muslimin dan muslimat. Maaf zahir dan batin. Semoga Allah menerima segala amalan yang dilakukan dan meneguhkan jiwa kita untuk terus beramal.

MOHD AMAR ABDULLAH | 1 SYAWAL 1443
Pondok Tok Ayah Kedah, Kelantan Darul Naim – HARAKAHDAILY 2/5/2022

- Advertisement -
- Advertisement -