Rakyat diingat patuhi protokol kawalan Covid-19

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

PASIR MAS:
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) mengambil inisiatif memperingatkan orang ramai mematuhi beberapa kelonggaran protokol kawalan Covid-19 dalam tempoh transisi endemik.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata, peringatan itu akan dibuat melalui saluran media arus perdana seperti televisyen, radio dan akhbar.

Katanya peringatan kepada masyarakat perlu sentiasa diteruskan agar mereka peka dan menjaga keselamatan biar pun negara sudah beralih kepada fasa endemik sekarang.

- Advertisement -

“Hari ini kita menyaksikan rakyat semakin bebas daripada sekatan-sekatan yang membelenggu kehidupan akibat pandemik Covid-19.

“Oleh itu, kerjasama semua rakyat perlu supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan kerap membasuh tangan dan kalau berada di tempat ramai perlu memakai pelitup muka, malah di rumah juga perlu sentiasa jaga kebersihan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui semasa menziarah bekas Ketua Penerangan Umno Tan Sri Hussin Ahmad di kediamannya Kampung Lemal, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama katanya, K-KOMM menyokong keputusan kerajaan yang melaksanakan kelongaran SOP memandangkan ia dapat memberi impak positif kepada aktiviti perniagaan.

Beliau yang juga sebagai Menteri Kuartet Covid-19 berkata, langkah penting tersebut akan merancakkan kembali ekonomi negara khususnya sektor yang terjejas selepas pintu sempadan negara dibuka 1 April lepas.

“Fasa peralihan ke endemik yang menyaksikan lebih banyak kelonggaran dalam pelbagai sektor bagi membolehkan rakyat kembali ke kehidupan hampir normal selepas lebih dua tahun berperang dengan Covid-19.

“Berita gembira itu merupakan strategi keluar daripada pendemik dan fasa sementara sebelum negara beralih ke fasa endemik yang tertakluk kepada pengumuman Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO),” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/5/2022

- Advertisement -