Berhati-hati dengan musuh terdekat

- Advertisement -

Nazhafah Diri & Integriti Melalui Juz 28

ALLAH SWT telah mengingatkan manusia bahawa terdapat sebilangan yang bergelar isteri dan anak-anak boleh menjadi musuh dalam kehidupan sebuah keluarga. Kadang-kadang terdapat isteri berperanan menjerumuskan suami ke dalam bahaya dan anak-anak yang mendorong bapanya untuk melakukan perbuatan yang tidak dibenarkan oleh syariat.

Oleh itu, perlunya berhati-hati terhadap mereka dengan mengawasi dan menanamkan pendidikan agama dalam keluarga. Firman Allah SWT:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلَّذِینَ ءَامَنُوۤا۟ إِنَّ مِنۡ أَزۡوَ ٰ⁠جِكُمۡ وَأَوۡلَـٰدِكُمۡ عَدُوࣰّا لَّكُمۡ فَٱحۡذَرُوهُمۡۚ وَإِن تَعۡفُوا۟ وَتَصۡفَحُوا۟ وَتَغۡفِرُوا۟ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَفُورࣱ رَّحِیمٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya ada di antara isteri-isteri kamu dan anak-anak kamu yang menjadi musuh bagi kamu. Oleh itu, awaslah serta berjaga-jagalah kamu terhadap mereka. Dan kalau kamu memaafkan dan tidak marahkan mereka serta mengampunkan kesalahan mereka (maka Allah akan berbuat demikian kepada kamu), kerana sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani”. (Al-Thagabun: 14)

- Advertisement -

Menurut Imam Ibnu Jarir daripada ‘Atha bin Yasar, ayat di atas diturunkan berkenaan kejadian yang berlaku kepada ‘Auf bin Malik Al-Asyja’ie R.A. Beliau mempunyai seorang isteri dan seorang anak. Ketika ‘Auf hendak keluar berperang di jalan Allah, isteri dan anaknya menangis serta menahannya supaya tidak pergi sambil mereka berkata: Kepada siapa kami akan kamu tinggalkan? ‘Auf berasa simpati dengan mereka dan membatalkan hasrat ke medan jihad, lalu turunlah ayat berkenaan menegur sikapnya.

Sementara mengikut Ibnu Abbas R.A ayat di atas diturunkan berkenaan satu kaum daripada penduduk Mekah yang telah memeluk agama Islam, tetapi isteri-isteri dan anak-anak mereka tidak mahu berhijrah ke Madinah tempat Rasulullah SAW berada. Setelah sampai di Madinah dan melihat masyarakat yang telah faham Islam, maka timbullah keinginan untuk menghukum isteri-isteri dan anak-anak mereka tetapi Allah menurunkan ayat sebagaimana di atas: Dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi mereka serta mengampunkan mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Tegasnya, dalam keluarga sendiri boleh jadi terdapat musuh yang boleh melemahkan diri untuk memperjuangkan agama Allah SWT.

Imam Ibnu Kathir ada menyatakan bahawa pengertian ‘Aduwwun atau musuh dalam ayat tersebut memberi maksud sesuatu yang melalaikan daripada mengerjakan amal soleh sebagaimana diambil melalui tafsiran ayat:

الْأَخِلَّاءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلَّا الْمُتَّقِينَ

“Teman-teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa”. (Az Zukhruf: 67)

Jika berkawan dengan niat untuk mendapatkan habuan dunia, maka persahabatan itu tidak akan lama bahkan boleh menimbulkan pelbagai masalah. Namun, sekiranya pembinaan sebuah persahabatan adalah semata-mata kerana Allah dan atas kasih sayang kerana Allah, maka ia terjalin sehingga ke akhirat. Syeikh Abdul Rahman Al-Sa’diy ketika mentafsirkan ayat berkenaan menerusi tafsirnya menyatakan:

لأن خلتهم ومحبتهم في الدنيا لغير اللّه، فانقلبت يوم القيامة عداوة

“Kerana persahabatan dan kecintaan mereka di dunia bukan kerana Allah, maka ia berubah menjadi permusuhan di hari kiamat.”

Ketua keluarga hendaklah memberi pendidikan akidah dan syariah yang mantap supaya seluruh ahli keluarga tidak menjadi musuh utama kepada dirinya. Imam Nawawi ada menyebut bahawa fitnah daripada isteri merupakan fitnah besar bagi kaum lelaki. Seseorang isteri yang melanggar peraturan agama, boleh menjadi asbab tercetusnya fitnah yang besar. Sebaliknya seseorang isteri yang taat melaksanakan syariat Islam dalam kehidupannya dan sentiasa memperbaiki diri, dia boleh menjadi pendorong dan penyebab kepada suami, anak-anak, ahli keluarganya dan orang-orang di sekelilingnya mendapat keredhaan Allah seterusnya menjadi penghuni syurga.

USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
28 Ramadhan 1443/30 April 2022 – HARAKAHDAILY 30/4/2022

- Advertisement -