API UiTM pernah jadi perjuangan Menteri Agama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad berkata, beliau melihat hasil yang diusahakan pasukan di dalam Akademi Pengajian Islam Universiti Teknologi Mara (API UiTM) tanpa jemu.

Justeru, beliau merasa teruja, gembira, sebak dan gambaran dalam hatinya apabila menerima kunjungan daripada API (UiTM), semalam.

Katanya, kehadiran para tetamu yang diketuai oleh rombongan API iaitu Dekan Akademik Pengajian Islam Kontemporari UiTM, Prof Madya Dr Mohd Afandi Mat Rani, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, Dr Hajar Opir, Timbalan Dekan PJI, Prof Madya Dr Fadilah Abdul Rahman, KPP Muamalat, Dr. Mohd Hapiz Mahaiyadin, KPP Pengurusan Industri Halal, Ustaz Mohammad Mahyuddin Khalid dan pensyarah ICEPS, Mohd Najib Mohd Ariffin.

- Advertisement -

Katanya, 10 tahun perkembangan yang berlaku di dalam universiti tersohor di Malaysia itu telah melahirkan ramai pelajar yang berjaya dalam pelbagai bidang industri mahupun penyelidikan, muncul daripada kecemerlangan universiti itu.

“Akademi Pengajian Islam yang pernah menjadi perjuangan saya suatu ketika dahulu ketika berkhidmat sebagai pensyarah di UiTM, saya lihat hasilnya yang diusahakan pasukan di dalam akademi ini tanpa jemu,” ujarnya dalam hantaran di laman Facebook beliau, semalam.

Tambahnya, satu persatu perkembangan besar dibentang kepadanya yang semuanya begitu mengujakan, dengan menjadi semua usaha memurnikan pengajian Islam dibina tahun demi tahun.

“Cukup mengagumkan saya apabila para pelajar tahfiz yang mengambil beberapa jurusan di dalam universiti ini mendapat tempat dan kecemerlangan yang baik sama ada dalam akademik mahupun prestasi aktiviti di dalam universiti, cukup mengharumkan nama baik anak-anak ini.

“Insya-Allah, kehadiran rombongan ini menatijahkan pelbagai lagi inisiatif untuk meningkatkan lagi usaha untuk memartabatkan nilai agama dan pembangunan ilmu dalam kalangan anak-anak muda dan pelajar yang berada di Malaysia ini,” ujarnya lagi.

Beliau sangat percaya, dengan usaha memberi pendidikan yang terbaik, dengan membawa nilai agama yang mendalam dan memberi keyakinan kepada anak-anak muda di negara ini membawa dan memacu negara dengan lebih maju dengan ilmu, dan amal yang berkesan, sehingga ketaatan terhadap nilai ketuhanan dalam kalangan rakyat Malaysia, membentuk negara yang toyyibah.

Idris mengucapkan terima kasih atas kehadiran semua rombongan daripada Akademik Pengajian Islam Kontemporari UiTM.

“Insya-Allah akan ada pertemuan dan program bersama saya selepas ini,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 30/4/2022

- Advertisement -