Pelajar Sabah, Sarawak beraya di kampus kos penerbangan mahal

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyediakan juadah Hari Raya Aidilfitri secara percuma selama tiga hari kepada 180 pelajar yang tidak pulang beraya di kampung masing-masing.

Naib Canselor UMK Prof Dr Razli Che Razak berkata, kebanyakan pelajar terlibat dari Sabah dan Sarawak disebabkan kos penerbangan yang tinggi menyebabkan mereka terpaksa menetap di kampus sepanjang tempoh berkenaan.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan bakul raya kepada Kelab Media Kelantan Darul Naim (Kemudi) di Jabatan Penyiaran Kelantan semalam. Pada majlis tersebut Kemudi diwakili presidennya, Majidah Ismail.

Hadir sama Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UMK, Mohd Adzwan Kamaruzaman.

“Juadah percuma itu akan diagihkan kepada pelajar UMK yang berada di Kampus Kota, Pengkalan Chepa dan Jeli. Agihan makanan percuma dilakukan memandangkan premis perniagaan makanan ditutup pada hari raya,” katanya.

Pada perkembangan lain Dr Razli berkata, sehingga kini 5,700 pelajar UMK sudah mengikuti pengajian di ketiga-tiga kampus berkenaan.

“Insya-ALLAH pada September ini keseluruhan pelajar 11,416 pelajar UMK akan kembali mengikuti pengajian bersemuka di kampus,” katanya.

Baru-baru ini pelbagai pihak mendedahkan tambang penerbangan ke Sabah dan Sarawak meningkat berkali ganda pada musim perayaan sehingga menyebabkan ramai pelajar terpaksa beraya di kampus. – HARAKAHDAILY 29/4/2022

- Advertisement -